Laporan/foto:Jeanne J Som/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk George Lew @ George Liew mendahului senarai 280 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Negeri Sabah, pada Selasa.
George bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN), Datuk Patrick Tan @ Tan Su Teck; Pengarah Jabatan Air Sabah, Datuk Ir. Amarjit Singh dikurniakan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Pada istiadat pengurniaan itu, Tun Juhar mengurniakan darjah kebesaran tersebut kepada 44 penerima antaranya, Presiden Persatuan Wartawan Sabah yang juga Ketua Biro The Star, Muguntan Vanar; Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), Datuk Sidin Abdul Karim; Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Heric Corray A/L V. Solomon Corray; Pengerusi Pembangunan Desa, Datuk Honorsius Bosuin; Ketua Pegawai Eksekutif Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Datuk Melvin Gregory Disimond dan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah, Datuk Ismail Bungsu.
Manakala 10 penerima lagi dikurniakan watikah pelantikan sebagai Jaksa Pendamai (JP) termasuk Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Rozman Isli; Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah, Datuk Johan Christopher Ghani dan Senator Datuk Armani Datuk Haji Mahiruddin.
Sementara itu, darjah kebesaran Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) diterima Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Al hambra Juhar; Juruiring Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Lt. Kol Herman Bombang, Prof. Dr. Chu Chi Ming dan 20 penerima lain.
Tun Juhar juga menyempurnakan pengurniaan darjah kebesaran Ahli Darjah Kinabalu (ADK) kepada 55 penerima, 89 orang penerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), Bintang Kinabalu (BK) 47 penerima dan 18 individu lain menerima darjah kebesaran Pingat Perkhidmatan Terpuji (SK).
Istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat Istana Negeri itu turut dihadiri Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni dan 500 tetamu.
ER