Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Menyantuni Masyarakat Orang Asli

By 5 Oktober 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Program Mesra Datuk Undang Luak Rembau Bersama Masyarakat Orang Asli telah diadakan di Kampong Orang Asli Ulu Chembong, di sini tempoh hari.

Majlis telah dimeriahkan dengan kehadiran masyarakat Orang Asli daripada pelbagai lapisan umur.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu utama, Dato Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman.

Datuk Undang dalam ucapan perasmiannya berkata, komuniti sekitar tidak harus melupai masyarakat Orang Asli kerana mereka juga berbakti kepada negara dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Semoga Masyarakat Orang Asli di Luak Rembau ini akan terus berkembang maju dalam pendidikan dan kehidupan selaras dengan arus pembangunan negara kita,” ujarnya ketika merasmikan majlis.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terpilih dari kalangan masyarakat Orang Asli dan telah berkenan melawat ke Galeri Kraf Temuan Abo yang dimiliki oleh usahawan anak tempatan serta ikon kepada masyarakat Orang Asli.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sebagai pengisian program tersebut, antaranya ialah pemeriksaan kesihatan, gotong royong, sukaneka, pameran agensi kerajaan, pertandingan sepak takraw dan cabutan bertuah.

Hadir sama Dato-Dato Penyandang Pusaka Adat Luak Rembau, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan Haslin Abd Razak, wakil Pegawai Daerah Rembau Intan Sharaini serta Ketua-ketua jabatan.

-AK

Tinggalkan komen anda