Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan beberapa inisiatif baharu bidang pendidikan bakal diumumkan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan awal November depan.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga bagi memastikan semua kelompok di negeri ini mendapat peluang pendidikan yang sama dan terbaik.
“Inisiatif baharu itu turut menggalakkan graduan cemerlang mengisi perjawatan dalam negeri Selangor sama ada sebagai penjawat awam atau swasta.
“Ini yang kita tumpukan kerana (ianya) satu kerugian apabila banyak dilaburkan dalam pendidikan tetapi setelah tamat belajar, mereka bekerja di luar negara. Ini satu kerugian kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat Perdana Untuk Pelajar Menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves di sini, malam tadi.
Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua ketika berucap di majlis tersebut mengingatkan calon-calon SPM bahawa peperiksaan yang bakal dihadapi merupakan detik penting yang menentukan hala tuju seterusnya.
“Selepas 11 tahun dalam sistem pendidikan persekolahan peringkat rendah hingga menengah, inilah detik penting untuk adik-adik meneroka bidang lebih luas yang akan dipilih.
“SPM adalah detik yang sangat penting yang perlu direbut dengan sebaiknya yang akan membuka peluang yang lebih baik dalam meneroka bidang pendidikan yang lebih tinggi,” katanya di hadapan lebih 500 hadirin di majlis tersebut.
Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Abdul Hamid Hussain dan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof.
-NAZ