
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan 14 struktur rumah yang dibina tanpa kelulusan agensi tersebut di Kampung Sungai Chinchin, di sini hari ini.
Rumah-rumah tersebut didirikan diatas tanah berkeluasan enam ekar yang diceroboh sebelum dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 setiap lot tanpa pecah sempadan dan tukar syarat status tanah terutama kepada individu bertaraf Penduduk Tetap (PR).
Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad berkata, pemilik asal menyedari tanah mereka diceroboh sewaktu siasatan dijalankan pihak MPS dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Gombak sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.
“Notis peringatan dikeluarkan tiga bulan lalu namun ianya tidak diendahkan seolah-olah ingin mencabar penguatkuasa dengan mempengaruhi pembeli tanah tersebut untuk terus mendirikan struktur rumah mereka.
“Operasi penguatkuasaan dijalankan di bawah Akta 133 Akta Parit Jalan dan Bangunan, Undang-undang kecil Bangunan, Akta 172 Akta Perancangan Bandar dan Akta Kanun Tanah Negara kerana salah guna tanah dan pembinaan bangunan tanpa kebenaran ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Operasi Perobohan Bersepadu Bagi Pemajuan Tanpa Kelulusan di Sungai Chincin di sini hari ini.

MPS merobohkan 14 struktur rumah yang dibina tanpa kelulusan di Kampung Sungai Chinchin, Gombak hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, penguatkuasaan dilakukan bagi mengelak pencerobohan tanah secara berterusan dan mengelakkan ianya menjadi tidak terkawal.
“Pembinaan tanpa kebenaran ini menyebabkan sungai berhampiran ditimbus untuk dibina struktur rumah di atasnya menyebabkan banjir kilat, malah rumah yang dibina itu dikhuatiri tidak selamat kerana struktur tanah yang tidak stabil.
“Saya nasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan iklan penjualan tanah yang menawarkan harga tidak masuk akal, buat semakan status tanah di PTD Gombak dan dapatkan kelulusan perancangan di MPS,” katanya.
-NAZ