Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)
ALOR SETAR, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Program Hari Bertemu Pelanggan menjadi saluran bagi masyarakat setempat bagi menyuarakan aduan dan menjadi pemangkin untuk masyarakat setempat menyuarakan cadangan bagi meningkatkan perkhidmatan.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, menjelaskan penjawat awam perlu lebih bersedia untuk bersemuka dengan masyarakat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Semua anggota perkhidmatan terutamanya negeri Kedah perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha dan tenaga kearah penyampaian perkhidmatan yang efektif, efisien, berkualiti serta mementingkan pemegang taruf dan pelanggan bagi memastikan matlamat kerajaan dapat dicapai.
“Penjawat awam merupakan nadi penggerak dan tulang belakang kerajaan dan haruslah selalu memastikan perkhidmatan sentiasa relevan seiring dengan perubahan masa,” katanya pada Majlis Perhimpunan Pagi dan Program Hari Bertemu Pelanggan di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Dalam memastikan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan, penjawat awam negeri kedah perlu meningkatkan produktiviti dan daya usaha.
“Penjawat awam tidak perlu merasa terbeban dengan tugas hakiki yang dilakukan, sebaliknya ambillah pendekatan positif dan sikap bertanggungjawab dengan menggalas tugas yang telah diamanahkan.
“Budaya kerja yang mengabungkan nilai integriti serta keutuhan peribadi yang tinggi merangkumi sikap disiplin dan tanggungjawab seharusnya menjadi jati diri pada setiap penjawat awam.
“Melalui perkembangan teknologi ICT yang semakin meluas, penjawat awam perlu meningkatkan kemahiran dan penggunaan ICT bagi memastikan mereka mampu memberikan perkhidmatan yang cepat, cekap dan berkualiti kepada rakyat,” tambahnya.
-SH