Laporan : Aishah Omar (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan usahasama Kerajaan Negeri Sembilan & JobsMalaysia Negeri Sembilan akan mengadakan Karnival Pekerjaan Dan Pendidikan Pengangkutan 2019 yang akan diadakan selama dua hari di Palm Mall, Seremban, Negeri Sembilan.
Karnival yang akan berlangsung pada 19 dan 20 Oktober 2019 ini memberi peluang besar kepada sesiapa yang masih mencari pekerjaan terutama dalam bidang pengangkutan. Sebanyak 40 majikan akan menyertai karnival ini dengan menawarkan lebih 4,000 peluang pekerjaan untuk diisi segera.
Menurut Pengurus JobsMalaysia Negeri Sembilan, Azrul Amin bin Ahmad Latifi antara majikan yang akan terlibat dalam program dua hari ini ialah Air Asia, Malindo Air, PUSPAKOM, Prasarana Malaysia Berhad, Westport Malaysia, MRT Corp, Malaysia Airport Holding Berhad, DRB-HICOM Defence Services Sdn. Bhd., Honda Malaysia Sdn. Bhd. dan lain-lain yang akan menawarkan peluang pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga 15 ribu sebulan.
“Selain peluang temuduga terbuka ini, pameran daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan akan turut diadakan. Selain itu, Kementerian Pendidikan juga akan mengambil bahagian mengadakan pameran untuk memberi info secara interaktif kepada pengunjung,” ujar Azrul Amin lagi.
Menurut beliau lagi, pelbagai jawatan akan ditawarkan kepada pengunjung termasuk juga memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk meningkatkan kerjaya masing-masing. Sasaran utama kepada golongan belia di Negeri Sembilan termasuk juga dari negeri sekitar seperti Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kami berharap lebih 4 ribu pengunjung akan datang ke program ini memandangkan banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan. Temuduga terbuka yang diadakan selama dua hari ini diharap dapat memenuhi impian pengunjung untuk bekerja dalam bidang yang diminati,” katanya.
Calon-calon yang ingin menghadiri temuduga terbuka ini WAJIB berdaftar dan berstatus aktif di dalam portal JobsMalaysia. Sebarang pertanyaan, sila hubungi 067623796/067624068.