Laporan/Foto: Asmidar Zainol (Nabawan)
NABAWAN, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony akan hadir dan merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan, Pensiangan pada 26 Oktober ini.
Pengerusi Penyelaras Bersama program berkenaan, Jekerison Kilan berkata, pelbagai pengisian telah dirancang bagi memeriahkan program itu.
“Program yang dirancang bukan sahaja untuk berhibur bersama keluarga tetapi turut meraikan masyarakat yang kurang bernasib baik dengan memberi sumbangan seperti kerusi roda, kaki palsu dan bantuan khas kepada mereka yang telah terpilih.
“Selain itu, Skuad Tambadau juga bakal memeriahkan program tersebut untuk memberi peluang kepada peminat-peminat bola sepak tempatan bertemu dengan idola mereka.
“Bagi para pengunjung pula, pelbagai hadiah menarik disediakan bagi aktiviti cabutan bertuah antaranya motosikal, peti ais, basikal dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Nabawan, Virus Malitam berkata, orang ramai tidak harus melepaskan peluang untuk menghadiri program berkenaan.
“Walaupun Datuk Peter selalu turun ke sini, tetapi majlis kali ini agak istimewa kerana beliau datang khusus untuk bertemu dan beramah mesra dengan penduduk.
“Oleh yang demikian, masyarakat Nabawan dijemput ke program ini untuk berjumpa dengan pemimpin negeri, “ ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan program itu di Pejabat Daerah Nabawan, pada Selasa.
Majlis bermula seawal pukul 8 pagi dengan aktiviti pertandingan tendangan tepat, timang bola, pertandingan baju tradisi (Pinongkoloh) dan persembahan artis tempatan manakala majlis perasmian dijangka bermula pada pukul 2 petang.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Penolong Pegawai Daerah Nabawan (Pentadbiran), Hasinin Kinsim; Penolong Pegawai Daerah Nabawan (Pembangunan) Elias Abd Hamid; Naib Presiden KDM Malaysia yang juga Pengerusi Perkasa Holdings Sdn Bhd, Mudi Dubing; Pengurus Bola Sepak Sabah merangkap Angkatan Muda KDM Malaysia, Hendry Soimpon serta ketua-ketua dan wakil-wakil jabatan negeri dan persekutuan serta ketua-ketua adat.
ER