Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

SKSAM Terus Gelorakan Semangat Patriotisme

By 1 Oktober 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Sharul Effandi Yusof (Sik)

SIK, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Usaha bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar sekolah tidak hanya tertumpu pada bulan kebangsaan bahkan seharusnya ia dilakukan secara berterusan dari masa ke masa.

Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda (SKSAM) mengambil insiatif bagi melaksanakan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik Sekolah Rendah Peringkat Negeri Kedah 2019 bagi terus menggelorakan semangat cintakan negara,

Menurut Guru Besar SKSAM Abdul Rahim Abdul Rashid, pertandingan ini diadakan bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekolah dalam menghayati erti kemerdekaan berdasarkan bait-bait lirik yang dinyanyikan.

Wei Thang menjadi peserta tunggal berbangsa Tionghua menyertai pertandingan tersebut.

Wei Thang menjadi peserta tunggal berbangsa Tionghua menyertai pertandingan tersebut.

“Pertandingan ini telah memasuki tahun ketiga penganjurannya serta dapat dijadikan platform bagi mencungkil bakat terpendam pelajar khususnya dalam bidang nyanyian. Kelainan turut diperkenalkan pada tahun ini apabila terdapat kategori baharu, iaitu kategori persembahan terbaik, dan para peserta pastinya lebih teruja dan bersemangat untuk mempamerkan aksi serta persembahan yang menarik bagi memikat hati para juri.

“Pertandingan ini turut mendapat kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Sik serta Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM 225 bagi pemenang tempat pertama hingga ketiga,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik Peringkat Negeri Kedah 2019, di Dewan Ibnu Sina SKSAM, di sini semalam.

Sementara itu salah seorang peserta, Kok Wei Thang, menjadi satu-satunya peserta berbangsa Tionghua tidak menjadikan perkara tersebut sebagai satu halangan kerana ini merupakan kali kedua Wei Thang memasuki pertandingan tersebut.

Fatehah tersenyum gembira di samping piala kemenangannya.

Fatehah tersenyum gembira di samping piala kemenangannya.

“Saya berasa gembira kerana dapat turut serta dalam pertandingan ini serta bertemu dengan rakan-rakan daripada sekolah-sekolah lain di daerah ini,” ujar pelajar tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa ini.

Wei Thang turut mencuri perhatian juri serta penonton yang lain apabila berjaya mendendangkan lagu “Sejahtera Malaysia” dengan baik sekali dan tersenarai sebagai 10 peserta terbaik pertandingan ini.

Peserta daripada SK Jeneri Nur Fatehah Izani Md Riban berjaya mengetepikan cabaran 24 peserta yang lain apabila muncul sebagai johan keseluruhan pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik ini.

“Kemenangan ini tidak bererti tanpa sokongan dan doa restu daripada keluarga serta guru-guru, merekalah yang banyak berkorban dan menyokong minat saya ini,” jelas pelajar tahun enam ini lagi.

Kemenangan tersebut membolehkan Fatehah membawa pulang hadiah wang tunai RM100, piala beserta sijil.

-SH

Tinggalkan komen anda