Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Rakyat Digesa Komited Jayakan Belanjawan 2020

By 25 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Salleh bin Haji Immun / Suherman Sari (Sarawak)

KUCHING, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Rakyat diminta untuk terus komited memberikan sokongan berterusan kepada pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan masa kini agar dapat memberikan pulangan positif kepada mereka demi kemakmuran bersama. Pada masa yang sama, dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan masa kini sememangnya memerlukan pengorbanan rakyat agar mereka dapat menyumbang sesuatu yang boleh mendatangkan impak kebaikan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang disegani dan disanjungi umum.

Pegawai Penerangan Daerah Simunjan , Safari Haji Satem berkata demikian sewaktu merasmikan Program Pengimarahan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) JaPen Simunjan pada pagi ini bertempat di Perkarangan Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Simunjan.

 Safari Satem, Pegawai Penerangan Daerah Simunjan ketika menyampaikan maklumat belanjawan 2020

Safari Satem, Pegawai Penerangan Daerah Simunjan ketika menyampaikan maklumat belanjawan 2020

Program yang bermula pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari mendapat maklumbalas yang amat baik dari segenap lapisan masyarakat yang tinggal di sekitar Daerah Simunjan. Pelbagai pengisian program telah dilaksanakan seperti pameran serta ceramah mengenai peranan dan fungsi PMR oleh Suherman bin Sari, Ketua Unit JaPen Simunjan, Taklimat PEKA B40 oleh Dr. Lai Wei Hua dari Unit Kawalan TIBI dan Kusta dan pameran serta saringan kesihatan secara percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Simunjan.

Safari juga menyentuh serta menjelaskan bahawa Belanjawan 2020 yang dibentang baru-baru ini memberikan fokus dengan mengutamakan kepentingan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum sekaligus mencerminkan perancangan sistematik sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab.

“Penekanan utama Kerajaan untuk Belanjawan 2020 adalah terhadap tanggungjawab dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang dapat memberikan keutamaan kepada semua pihak. Justeru itu, Kerajaan akan terus komited untuk menguruskan perbelanjaan berhemah dan kreatif demi menjamin kualiti perkhidmatan yang disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau yakin bahawa bahawa Pembentangan Belanjawan 2020 adalah cukup penting buat rakyat di mana pelaksanaannya juga perlu berlaku dalam keadaan yang cekap dan berkesan agar rakyat dapat merasai faedahnya. Dengan kata lain, rakyat amat berharap Kerajaan dapat mengagihkan belanjawan secara bijaksana dan diakhirnya kelak akan memberikan keuntungan kepada semua sama ada di pihak rakyat mahupun Kerajaan.

Program Pengimarahan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) JaPen Simunjan adalah merupakan salah satu plafform untuk menghubungkan rakyat dengan Jabatan Penerangan Malaysia dan secara langsung pelbagai maklumat terkini dapat disalurkan secara terus melalui konsep komunikasi bersemuka.

Tinggalkan komen anda