Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

‘Sopiupus Sopirati’ Ungguli JCLD 2019

By 31 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Lagu bertajuk ‘Sopiupus Sopirati’ yang bermaksud ‘Saling Menyayangi dan Memahami’ mengungguli Juara Carta Lagu Dusun (JCLD) Musim Ke-7, 2019.

Penulis lirik lagu itu, Sekar Medusa, 58, berkata, ia merupakan kemenangan yang tidak diduga atas persaingan sengit dari sembilan peserta lain.

S.Welly dan Marlleyney ketika menyampaikan lagu.

S.Welly dan Marlleyney ketika menyampaikan lagu.

“Lagu ini menceritakan sebuah cinta yang baharu berputik dan akhirnya menjadi satu kasih sayang yang mendalam antara dua insan.

“Kami tidak menjangka lagu ini dinobatkan sebagai juara kerana kesemua yang berjaya masuk ke peringkat akhir memberikan saingan yang sengit.

Frederick mendendangkan lagu ciptaan sendiri bertajuk "Ponindualan Nu Montok Dogo".

Frederick mendendangkan lagu ciptaan sendiri bertajuk “Ponindualan Nu Montok Dogo”.

“Namun, kami bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang menganjurkan pertandingan ini dan memberikan penghargaan bagi pencipta lagu bahasa Dusun,” katanya ketika ditemui selepas dinobatkan sebagai juara JCLD di Dewan Gopog Taginambur, pada Isnin.

Mengulas mengenai bahasa ibunda setiap etnik yang semakin dilupakan generasi masa kini, beliau menyatakan penguasaan bahasa etnik sebenarnya bermula dari rumah.

Gedion menyanyikan lagu "Kakal Poinggirot" ciptaan Bernard.

Gedion menyanyikan lagu “Kakal Poinggirot” ciptaan Bernard.

“Ia perlu dipraktikkan dalam komunikasi harian, terutamanya ketika berada di rumah. Ibu bapa memainkan peranan dalam mengajar bahasa ibunda kepada anak mereka.

“Biar di sekolah mereka menggunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, tetapi bila di rumah, biasakan mereka bercakap bahasa ibunda,” katanya lagi.

Lagu ciptaan Sekar yang berasal dari Kampung Dudar itu didendangkan S.Welly Kelly, 46 dari Kampung Gandukut dan Marlleyney Fane JL Paul, 32 dari Tamparuli.

Ewon (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Juara JLCD, Sekar (tengah), Marlleyney (tiga dari kanan) dan S.Welly (dua dari kanan).

Ewon (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Juara JLCD, Sekar (tengah), Marlleyney (tiga dari kanan) dan S.Welly (dua dari kanan).

Nyanyian duet tersebut turut dinobatkan Anugerah Vokal Terbaik yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.7 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Sementara itu, naib juara disandang oleh penulis lirik, Bernard Laimen Michael dengan lagu bertajuk ‘Kakal Poinggirot’ yang dinyanyikan oleh Gedion Hilarius.

Di tangga ketiga pula, Frederick Julius selaku penulis dan penyanyi lagu ‘Ponindualan Nu Montok Dogo’ turut menerima Anugerah Artis Paling Popular.

Para pemenang JCLD merakam gambar kenangan.

Para pemenang JCLD merakam gambar kenangan.

Pertandingan JCLD dianjurkan sekali dalam dua tahun, di mana anjuran pertama adalah pada tahun 2007 di Daerah Ranau.

Pertandingan itu adalah cetusan daripada rancangan Bontugan Sinding Minggu Diti (Juara Lagu Dusun), terbitan Siaran Bahasa Dusun SABAHVfm, RTM Kota Kinabalu.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Rancangan Radio RTM, Yusni Mohamed Ali dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Kota Belud, Peter Jiton.

ER

Tinggalkan komen anda