Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan (Baling)/Mohd Faizol Ab Aziz (APM)
BALING, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Hujan lebat sejak belakangan ini dipercayai menjadi punca semakin banyak kes ular bersaiz besar menceroboh masuk di kawasan awam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Baling semakin kerap menerima laporan kecemasan berhubung kemunculan ular sawa dan tedung selar oleh orang awam.
Dalam kejadian terbaharu kelmarin pihak APM daerah Baling menerima laporan kehadiran ular sawa seberat hampir 60 kilogram dan sepanjang lima meter yang menceroboh masuk di Kampung Kuala Kedua Ulu Legong Baling.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pukul 12 tengah hari oleh orang awam dan tiba di lokasi 30 minit kemudian dan sebaik tiba, operasi menangkap reptilia tersebut berjaya dilakukan oleh lima anggota dengan menggunakan peralatan khas dan dibawa ke pejabat APM daerah Baling untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui, di sini.
Mohd Faizol turut menasihatkan masyarakat agar berhati-hati dengan keadaan sekeliling khususnya pada musim hujan ini dan menghubungi segera pihak APM jika berlaku sebarang kecemasan.
“Saya mengingatkan supaya masyarakat lebih peka terutamanya dalam menghadapi ancaman daripada binatang liar serta persediaan menghadapi bencana banjir dan keluar segera ke tempat yang selamat jika berlaku bencana.
“APM sentiasa bersiap sedia membantu masyarakat dan sebarang kecemasan boleh menghubungi APM daerah Baling di talian 044701626 (24 jam) atau 999 untuk mendapatkan bantuan,” tambahnya.
-SH