
Laporan/Foto: Parameswary Lekshmnan/Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 16 Oktober (Malaysiaaktif) – “I’m a cancer survivor,” frasa permulaan ucapan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali mengejutkan seluruh Auditorium Utama Hospital Kuala Lumpur.
Siti Hasmah, wanita pertama Malaysia membuat pengakuan bahawa beliau juga merupakan salah seorang pejuang melawan kanser payu dara ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink Oktober semalam.
Menurut Siti Hasmah, pemeriksaan bermula ketika beliau merasa kurang sihat pada Mac 2018 dan doktor telah mendapati terdapat ketumbuhan kecil di bahagian kirinya. Beliau dinasihatkan untuk membuat rujukan dan pemeriksaan lanjut di hospital.
“Doktor lakukan biopsi pada Sabtu dan keputusan diperoleh pada Isnin, tetapi sepanjang tempoh hari minggu itu saya langsung tidak memberitahu suami kerana tidak mahu mengganggunya yang sibuk bekerja,” kata Tun Dr. Siti Hasmah lagi.
“Apabila Isnin, doktor datang ke rumah mengesahkan keputusan biopsi, Tun Mahathir tidak membebel cuma menyuruh saya dibedah pada esoknya,” gelak Siti Hasmah sambil bercerita mengenang reaksi Tun Mahathir apabila mengetahui perkara ini.
“Saya masuk wad pada Jumaat minggu yang sama, keesokannya Sabtu saya dibedah bagi mengeluarkan ketumbuhan kecil berkenaan. Ahad, saya keluar wad,” sambung beliau menceritakan kronologi rawatan yang dilakukan.
“Kanser tidak mengenali usia. Bagi keadaan saya, pada umur 92 tahun tidak semestinya golongan tua sahaja malah wanita muda juga berpotensi menghidap kanser payudara ini,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut kisah perjuangan beliau, Siti Hasmah berkata beliau tenang ketika keputusan biopsi yang dimaklumkan oleh doktor itu dan mengesahkan ketumbuhan kecil di payudaranya itu adalah sel kanser.
“Jangan takut untuk membuat saringan dan pemeriksaan kesihatan,” tegas Tun Siti Hasmah menyeru semua wanita di luar sana untuk mendapatkan rawatan susulan tanpa melengahkan masa jika didapati positif menghidap penyakit ‘pembunuh’ utama wanita di negara ini.
Tun Dr. Siti Hasmah berkata, wanita tidak perlu takut atau malu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan memandangkan teknologi kesihatan kini sudah maju. Selain itu wanita perlu menjaga kesihatan diri bagi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti kerana tiada orang lain yang akan berbuat demikian selain diri sendiri.
Beliau turut menggalakkan wanita di semua peringkat umur sentiasa peka dengan perubahan diri dan menjalani ujian saringan setiap tahun selaras dengan pelancaran kempen KL Pink Oktober anjuran Hospital Kuala Lumpur. Kempen kali keempat ini diadakan sebagai usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan saringan awal mengenal pasti potensi kanser payudara.
-AO