Laporan/ foto: M Zakry Chan/ Fandy Azam (Melaka)
TANGGA BATU, 25 Okt (Malaysiaaktif)– Masjid lama Kariah Tangga Batu Kechil mula dibina pada tahun 1917 dan memandangkan keperluan jemaah yang semakin meningkat, pembinaan masjid baharu telah dirancang.
Tanah lot berkeluasan hampir 2 ekar tersebut diperolehi pihak Majlis Agama Islam Melaka melibatkan kos sebanyak RM1.28 juta pada tahun 2011 bagi tujuan tapak baharu Masjid Tangga Batu Kechil.
Perolehan lot tanah tapak masjid ini adalah melalui instrumen kutipan Saham Wakaf daripada pihak kariah berjumlah RM816,500 serta sumbangan Wakaf Am dari Majlis Agama Islam Melaka berjumlah RM463,500.
Pembinaan Masjid Ibadur Rahman Tangga Batu Kechil ini bermula pada tahun 2017 dan siap sepenuhnya pada bulan Mei tahun 2019 dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.8 juta dengan kapasiti 1,500 orang Jemaah.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, kejayaan merealisasikan pembinaan projek ini wajar dijadikan contoh kepada pengurusan masjid kariah lain dan kerjasama ahli kariah seperti ini perlu dicontohi kerana ia berupaya menggerakkan kutipan Saham Wakaf, sekali gus lebih banyak masjid boleh dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan setempat.
“Pembinaan masjid ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat prihatin terhadap usaha-usaha yang berkaitan dengan pembangunan Islam dan umatnya, juga terhadap kemudahan dan keselesaan rakyat ketika melakukan ibadah seharian.
“Begitulah juga keprihatinan kerajaan dalam mewujudkan pembangunan seimbang antara pembangunan material atau fizikal dengan pembangunan rohaniah atau spiritual. Kedua-duanya merupakan kunci kebahagiaan hidup muslimin di dunia dan akhirat.”
Katanya lagi, beliau berharap pihak jawatankuasa kariah masjid akan sentiasa pro aktif dalam menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan ahli jemaah khususnya dan umat Islam lain amnya.
“Pembinaan masjid ini diharap akan dapat menampung keperluan masyarakat Islam setempat dalam menunaikan tuntutan agama dan keperluan syiar Islam. Kerajaan membina masjid ini bukannya untuk bermegah-megah, tetapi kita membinanya untuk dimakmurkan dan dijadikan sebagai tempat menyembah Allah SWT.
“Saya juga amat mengharapkan agar pemimpin setempat serta jawatankuasa kariah masjid tidak mengabaikan Masjid Lama Tangga Batu Kechil yang terletak tidak jauh dari masjid baharu ini. Tuan-tuan boleh fikirkan sesuatu bagi mengimarahkan masjid lama tersebut yang juga dibina berdasarkan hasil infaq orang ramai yang terdahulu daripada kita, mudah-mudahan perkara ini menjadi jariah juga kepada mereka,”ujar Adly ketika berucap dalam masjlis perasmian yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Utama, Dr Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka Bersempena dengan sambutan hari jadi rasmi Tuan Yang Terutama Tun yang ke-81.