Laporan/ foto: M Zakry Chan/ Nur Fariza Farnoh (Melaka)
AYER KEROH, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Penerangan Negeri Melaka (KESUPEM) menyahut seruan Bulan Sukan Negara (BSN) dengan mengadakan pertandingan boling persahabatan yang berlangsung di Melaka International Bowling Center (MIBC), MITC, di sini, semalam.
Menurut Pengerusi (KESUPEM), Mohd Iswadi Abd Hamid, pertandingan ini diadakan bukan sahaja diadakan sempena BSN tetapi sebagai salah satu bentuk riadah kepada kakitangan Jabatan Penerangan Negeri Melaka (JaPen Melaka) untuk merehatkan minda sebentar.
“Dengan bersukan kita dapat meningkatkan kesihatan di samping itu mewujudkan suasana harmoni dalam jabatan dan paling penting dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kakitangan JaPen Melaka.
“Selain aktiviti sukan, KESUPEM juga mengadakan program – program seperti ziarah kasih, sumbangan kecemerlangan pendidikan anak-anak kakitangan, sumbangan musibah, majlis berbuka puasa, kacau dodol, masak bubur lambuk, jamuan hari haya dan team building Jabatan,” ujar Mohd Iswadi.
Dalam pada itu, Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee, semasa merasmikan Bulan Sukan Negara peringkat Negeri Melaka baru-baru ini berkata, BSN adalah agenda Nasional selari dengan matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang membudayakan sukan dalam kehidupan mereka.
“BSN diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam meraikan sambutan ini, selaras dengan konsep inklusiviti dalam pelaksanaanya meliputi segenap lapisan umur, kaum dan latar belakang, serta penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat keseluruhannya berganding bahu menganjur dan menyertai program dan aktiviti sukan.
“Kerajaan sentiasa berusaha menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang kurang aktif bersukan masih pada tahap sederhana sekitar 45 peratus berbanding 50 hingga 60 peratus di negara-negara maju,”ujarnya.
-KN