Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Terapkan Budaya Integriti Dalam Pelbagai Aspek

By 25 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)

MUAR, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Institusi masjid dan surau dilihat sebagai wadah penyatuan ummah melalui peranan yang cukup besar dalam mendidik seterusnya memperkukuhkan aspek kerohanian demi mewujudkan masyarakat bebas rasuah.

Penerapan integriti dan menjauhi perbuatan rasuah bukan sahaja perlu dilaksanakan melalui proses perundangan atau ceramah ilmiah tetapi nilai integriti itu sendiri dan sikap benci kepada gejala tidak sihat ini perlu diterapkan dalam aspek kerohanian masyarakat.

Rasuah sejenis penyakit yang menjadi barah di dalam diam dan merebak pantas menyerang setiap sendi anggota badan kita, mampu membunuh diri, keluarga serta masyarakat dan akhirnya membunuh negara yang tercinta.

Md Ysahruddin Kusni ADUN Bukit Naning berucap ketika Majlis Sambutan Ulangtahun SPRM Ke-52.

Md Ysahruddin Kusni ADUN Bukit Naning berucap ketika Majlis Sambutan Ulangtahun SPRM Ke-52.

Kini, pengukuhan  integriti melalui pegangan agama dan moral tinggi dalam kalangan pemimpin tertinggi, pemimpin parti politik, penjawat awam dan swasta serta orang awam dilihat amat penting walaupun berbeza agama dan budaya.

Semua pihak perlu berganding bahu dalam membina budaya berintegriti dan menjaga keluhuran undang – undang melalui pegangan agama yang kukuh agar gejala rasuah yang bermula daripada diri sendiri dan digerakkan oleh ketamakan diri ini dapat dibendung.

Bersempena Sambutan Ulangtahun SPRM Ke-52, telah diadakan Taklimat Pengukuhan Masjid dan Surau di sini semalam, yang telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Naning Md Ysahruddin Kusni merangkap wakil rasmi Menteri Besar Johor.

Pengerusi-Pengerusi Masjid dan Surau antara tetamu jemputan yang turut hadir ke Taklimat Pengukuhan Masjid dan Surau.

Pengerusi-Pengerusi Masjid dan Surau antara tetamu jemputan yang turut hadir ke Taklimat Pengukuhan Masjid dan Surau.

Turut hadir Pegawai Daerah Muar Mohd Hafiz Ahmad dan Pengarah SPRM Johor Datuk Norazlan Mohd Razali.

“Institusi masjid dan surau adalah institusi yang dekat di hati masyarakat, justeru itu, amat penting imej institusi masjid dan surau terus dipelihara dan tidak tercemar dengan jenayah rasuah,” ujar Md Ysahruddin Kusni dalam ucapan perasmiannya.

Tambah beliau lagi, pembanterasan jenayah rasuah bukan sahaja boleh dilaksanakan dengan cara penguatkuasaan undang-undang tetapi juga kesedaran melalui aspek kerohanian dan diharapkan melalui kefahaman yang diperolehi melalui program ini, aspek integriti dalam tadbir institusi masjid dan surau dapat terus dipertingkatkan.

Program Taklimat Pengukuhan Masjid dan Surau sempena sambutan Ulangtahun Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malasyia (SPRM) Ke-52 ini merupakan salah satu wadah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malasyia (SPRM) Johor dalam menyebarkan soal integriti dan rasuah.
-NI-

Tinggalkan komen anda