Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

180 peserta KKM sertai taklimat Hospital Mesra Ibadah (HMI)

By 10 November 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidi Jamin (Kota Kinabalu) 

KOTA KINABALU, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya anggota hospital di negeri ini akan terus diberi latihan dan pendedahan berkaitan perkhidmatan penjagaan spiritual (spiritual care) agar setiap pesakit dapat dirawat secara holistik dengan mengambil kira pegangan agama dan kepercayaan masing-masing.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Bahagian Perubatan Dr. Abd. Kahar Abd. Asis berkata, perhatian dan keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan spiritual (spiritual care) semakin penting.

Para petugas Hospital Mesra Ibadah HQE yang terlibat bagi sesi pendaftaran peserta HMI seluruh negeri Sabah.

Para petugas Hospital Mesra Ibadah HQE yang terlibat bagi sesi pendaftaran peserta HMI seluruh negeri Sabah.

Sehubungan itu, setiap pesakit perlu dirawat secara bersepadu dan menyeluruh supaya mereka memahami tentang kesihatan dan penyakit seterusnya maklum tujuan serta kaedah terapeutik dan penyembuhan.

Dr. Abd. Kahar berkata demikian semasa merasmikan Program Taklimat Hospital Mesra Ibadah (HMI) peringkat Negeri Sabah anjuran Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS), bertempat di Auditorium Menara Berkembar Hospital Queen Elizabeth (HQE), baru-baru ini.

Tambahnya, program HMI merupakan pengiktirafan terhadap keperluan spiritual dalam pengurusan pesakit (patient care) merangkumi penjagaan spiritual (spiritual care) serta bantuan perlaksanaan ibadah kepada pesakit seiring dengan perkembangan bidang interdisiplin perubatan semasa.

Dr. Kahar ketika menerima cenderakenangan daripada Jasnawati sejurus merasmikan majlis.

Dr. Kahar ketika menerima cenderakenangan daripada Jasnawati sejurus merasmikan majlis.

“Program ke arah kebaikan dan tuntutan agama termasuklah program HMI bukan sahaja bertujuan membentuk kualiti perkhidmatan membanggakan kalangan anggota.

“Sebaliknya bertujuan memastikan semua aktiviti berkaitan penjagaan spiritual dan keagamaan didokumentasikan dengan sistematik serta memaksimakan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

“Taklimat HMI yang dianjurkan merupakan sesi penerangan memfokuskan kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan dan penghayatan ibadah semasa dan selepas mendapat rawatan.

Sumbangan Kit Ibadah Solat kepada HQE, Salman (Kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada Jasmawati disaksikan Dr. Kahar dan Dr. Raziffah .

Sumbangan Kit Ibadah Solat kepada HQE, Salman (Kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada Jasmawati disaksikan Dr. Kahar dan Dr. Raziffah .

“HMI tidak terhad kepada menyediakan perkhidmatan menunaikan ibadah semata-mata tetapi juga dalam skop yang lebih luas termasuklah menyediakan perkhidmatan sokongan emosi dan spiritual bercirikan sokongan rohani dan kasih sayang kepada pesakit.

“Selain bertujuan untuk mewujudkan sebuah hospital yang mengutamakan nilai-nilai murni dengan perkhidmatan, program HMI dikenalpasti mampu mempengaruhi kalangan anggota agar lebih professional dalam melaksanakan tugas seiring dengan pendekatan agama dan aspirasi kementerian,”jelasnya.

Lebih 180 peserta daripada pelbagai peringkat jawatan termasuk pakar, pegawai perubatan dan paramedik daripada 24 hospital seluruh Sabah sertai program yang turut diisi dengan sesi taklimat berhubung pendekatan HMI.

Sebahagian dari para peserta yang menghadir pada taklimat berkaitan HMI

Sebahagian dari para peserta yang menghadir pada taklimat berkaitan HMI

Antara yang dijemput bagi membentangkan kertas kerja dan ceramah termasuklah Pengarah Kesihatan Negeri Selangor merangkap Pengerusi HMI KKM, Dato’ Dr. Khalid Ibrahim serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Hospital Sungai Buloh, Dr. Ahmad Fahmi Md. Sahray.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan HQE, Jasnawati Jasmin; Pengurus Besar Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Salman Nurillah; Ketua Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental merangkap Pengerusi Hospital Mesra Ibadah, Dr. Raziffah; Pengarah-pengarah Hospital, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan Hospital serta anggota petugas HMI seluruh negeri.

ER

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda