Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sambutan Maulidur Rasul Tingkatkan Kerjasama Dan Perpaduan Ummah

By 10 November 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohd Yusof Abd. Samad (Tangkak)

TANGKAK, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tangkak disambut secara sederhana namun penuh dengan kemeriahan yang jelas terserlah dengan kehadiran lebih 1,200 orang, semalam.

Umat Islam di sini meraikan hari yang penuh bersejarah ini dengan menunjukkan kerjasama dalam menjayakan perarakan Maulidur Rasul yang disertai oleh 44 buah kontijen yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi, sekolah, kolej dan badan bukan kerajaan di mana situasi ini menggambarkan nilai-nilai murni Islam yang dihayati dengan baik.

Barisan kontinjen Jabatan Kerja Raya Daerah Tangkak.

Barisan kontinjen Jabatan Kerja Raya Daerah Tangkak.

Seawal jam 7.20 pagi perarakan bermula dari padang Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak dan berakhir di Masjid Bandar Tangkak.

Sepanjang perarakan, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran telah diperdengarkan bagi menambah keberkatan program ini di mana aktiviti perarakan sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W  ini diharap dapat menyegarkan ingatan dan kecintaan umat Islam kepada Rasulullah S.A.W. sekaligus mengukuhkan ikatan silaturrahim masyarakat di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tangkak merangkap Pegawai Daerah Tangkak, Shafei Ahamad berkata, “Sekiranya tidak wujud negara ummah pasti tiada kesejahteraan sesama umat Islam dan semoga Maulidur Rasul kali ini mempunyai hasanah yang merangkumi dunia dan akhirat.”

Tetamu yang hadir mendengar ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Kadi Daerah Tangkak sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tangkak.

Tetamu yang hadir mendengar ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Kadi Daerah Tangkak sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tangkak.

“Tanpa kerjasama dari semua pihak, maka sukar untuk melaksanakan serta menjayakan program keagamaan sebegini,” katanya lagi.

Antara pengisian program kali ini adalah ceramah agama yang disampaikan oleh Pegawai Kadi Daerah, As-Syeikh Mohd. Nasri Ahmad yang menekankan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. yang sebaik-baik dan semulia-mulianya manusia di dunia dan akhirat.

Beliau mengambil contoh keperibadian Rasulullah dalam mencorak peradaban hidup bermasyarakat dan menghidupkan semangat perpaduan dalam era yang penuh mencabar dan turut menyeru umat Islam agar sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan menghormati perbezaan yang ada.

Tengku Temenggong Johor, Tengku Iskandar Ibni Sultan Ibrahim menyampaikan hadiah kepada Kontinjen dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Tangkak yang memenangi acara perbarisan terbaik.

Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim menyampaikan hadiah kepada Kontinjen dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Tangkak yang memenangi acara perbarisan terbaik.

Mustafa Abd. Rahman, 50, yang sempat ditemubual menyatakan bahawa program sebegini mampu mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam disamping meningkatkan keimanan.

“Semangat Maulidur Rasul yang disambut hari ini dapat menyemaikan kemesraan antara umat Islam di sini, apatah lagi dengan kehadiran Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim,” ujarnya lagi.

Kontinjen dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Tangkak telah memenangi acara perbarisan terbaik.

Program ini diserikan dengan kehadiran Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi acara perarakan.

-NI-

Tinggalkan komen anda