Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Program Modal Insan NCER Tingkatkan Sosio Ekonomi

By 16 November 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Mohd Zahari Zakaria  (Seberang Perai Tengah)

PERMATANG PAUH, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Majlis Pelancaran Program Modal Insan telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bertempat di Politeknik Seberang Perai.

Dengan tema “Menyemarakkan Kemakmuran, Memperkasakan Rakyat,” program ini dibahagikan kepada 4 program yang disasarkan khususnya bagi memperkasakan golongan belia, wanita dan ibu tunggal, para penganggur di bawah kelompok kumpulan pendapatan isi rumah B40 serta usahawan mikro.

Ucapan perasmian oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Ucapan perasmian oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

“Untuk melahirkan komuniti yang berpendapatan tinggi, program Empower NCER akan dilaksanakan melalui komponen latihan kemahiran dan keusahawanan yang telah dirangka bagi memberi kemahiran asas dan latihan keusahawanan dalam pelbagai bidang seperti spa kecantikan, pembaikan komputer riba dan telefon bimbit, kulinari dan masakan, asas jahitan, fotografi, rekaan grafik serta dandanan rambut,” ujar Chow Kon Yeow.

“Proses pengambilan peserta khusus dari kumpulan B40 sedang dilaksanakan dengan kerjasama erat dan bantuan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Daerah Seberang Perai Tengah dengan Fasa 1 ini akan melibatkan seramai 200 orang peserta dan akan diteruskan Fasa 2 di 4 daerah lain,” tambahnya.

Pameran Inisiatif Program Modal Insan

Pameran Inisiatif Program Modal Insan

Beliau juga berkata, di bawah komponen Empower NCER ini juga akan diadakan kelas bimbingan kepada anak-anak kelompok B40 yang lemah dalam pendidikan, terutama kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM. Seramai 400 orang pelajar dari sekolah-sekolah aliran utama akan mengikuti program ini bermula Januari tahun depan.

Pihak NCIA akan bekerjasama dengan Yayasan MyKasih bagi membolehkan sekolah terpilih dilengkapi dengan makmal komputer dan peralatan robotik agar pengajaran dan pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dapat diperluaskan secara kreatif dan interaktif.

Pameran oleh usahawan dan industri PKS

Pameran oleh usahawan dan industri PKS

Kedua, program Entreprenuer NCER bertujuan untuk membantu golongan usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui kerjasama dari Agrobank dan Maybank dengan memberi dana 50% daripada kadar faedah pinjaman. Sehingga kini 28 permohonan telah diterima dan sedang diproses, katanya lagi.

Chow juga berkata program ketiga iaitu NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) pula untuk memastikan tenaga kerja mahir cukup bagi memenuhi keperluan industri serta meningkatkan peluang pekerjaan dan kualiti hidup graduan tempatan.

Program terakhir iaitu Dana Mudah Bumiputera (DMB) diperkenalkan dalam sokongan berbentuk kewangan kepada usahawan bumiputera sebagai pemangkin kepada syarikat untuk melaksanakan projek-projek berimpak tinggi.

Sesi fotografi Penerima Inisiatif bersama Ketua Menteri

Sesi fotografi Penerima Inisiatif bersama Ketua Menteri

“Inisiatif-inisiatif mantap ini diperkenalkan bagi menangani jurang kemahiran dan memastikan pembasmian kemiskinan dapat ditangani secara holistik dan inklusif dan program ini dilihat dapat membantu secara jangka masa panjang bagi mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang saksama,” tambahnya lagi.

Turut hadir pada majlis ini adalah Exco Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Abdul Halim Husin, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Datuk Seri Jebasingam Issace John, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad, Ketua Jabatan Negeri dan Daerah, para guru dan pelajar sekolah serta pelatih institusi kemahiran dan kakitangan kerajaan.

-II-

Tinggalkan komen anda