Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
NABAWAN, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Pelancongan luar bandar berasaskan komuniti merupakan satu perusahaan yang semakin popular di Sabah.
Sehubungan itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menggalakkan penduduk kampung supaya mengusahakan pelancongan luar bandar berasaskan komuniti di kampung masing-masing.
“Ada beberapa daerah yang telah kehadapan memajukan pelancongan luar bandar berasaskan komuniti, misalnya di Kadamaian yang telah berjaya menjana pendapatan lebih RM1 juta hasil bayaran atau yuran masuk pelancong ke kawasan itu.
“Selain Kadamaian, kawasan-kawasan lain yang turut mengusahakan pelancongan luar bandar berasaskan komuniti ialah Kiulu, Tambunan dan Ranau.
“Sebab itu saya menggalakkan penduduk kampung mengusahakan pelancongan berasaskan komuniti di kampung masing-masing terutamanya yang mempunyai potensi yang menarik seperti sungai, gunung dan bukit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian watikah kepada 13 Ketua Kampung kawasan Nabawan, di Dewan Rumah Rehat Nabawan, di sini, pada malam Rabu.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, walaupun daerah Nabawan terletak jauh dari pusat bandaraya Kota Kinabalu namun pelancong akan tetap mengunjungi kawasan itu sekiranya pakej pelancongan yang disediakan penduduk kampung itu menarik.
“Pada saya kalau produk pelancongan itu menarik dan pakej itu dapat kita promosi dan tonjolkan kepada para pelancong dengan baik, saya fikir sejauh manapun tempat itu, orang tetap akan berkunjung juga,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sokongan kepada pelancongan luar bandar berasaskan komuniti, bermula tahun ini Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyediakan sejumlah peruntukan untuk menyelenggara dan menaiktaraf jalan menuju ke pusat-pusat pelancongan komuniti.
“KPLB Sabah juga mempunyai Program Keusahawanan dan Industri Desa untuk membantu usahawan-usahawan luar bandar termasuk pengusaha inap desa dan pengusaha pelancongan luar bandar berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berharap, penduduk kawasan Nabawan, Pagalungan dan kawasan berhampiran dengan sempadan Kalimantan mengambil peluang daripada cadangan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan dengan mengusahakan pelancongan luar bandar berasaskan komuniti.
Turut hadir Adun Nabawan, Datuk Bobbey Suan; Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan; Pegawai Daerah Nabawan, Virus Malitam dan para pemimpin setempat.
ER