Foto: Ihsan Bernama
PONTIAN, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada pukul 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal daripada MCA itu memperolehi 25,466 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.
Empat calon lain pula hilang wang deposit kerana memperolehi undi kurang dari satu perlapan atau 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dikira.
Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Parti Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi sementara calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi. — BERNAMA