Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
TAWAU, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pewujudan Pejabat Daerah Penuh Kalabakan akan meningkatkan lagi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan urustadbir pembangunan di daerah itu.
Sehubungan itu beliau berharap, pimpinan di peringkat daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah Kalabakan, Abdul Rashid Abdul Harun dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat kawasan itu dan juga jabatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
“Ini satu sejarah kepada masyarakat Kalabakan kerana akhirnya mempunyai pejabat daerah berstatus daerah penuh dan saya percaya ini akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada urustadbir pembangunan di sini.
“Saya difahamkan seluas 1,000 ekar tanah berhampiran kawasan ini telah disediakan untuk pembangunan pekan baru Kalabakan yang merangkumi bangunan urusetia dan pejabat daerah.
“Saya percaya wakil rakyat dan kepimpinan di peringkat daerah Kalabakan sedang dalam perancangan untuk menyediakan pelan pembangunan daerah ini yang lebih komprehensif bagi memudahkan kerajaan menyediakan peruntukan yang bersesuaian dalam pelan pembangunan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat Daerah Kalabakan di sini, pada Khamis.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Dumi Pangiran Masdal; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat; Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan; Pegawai Daerah Kalabakan, Abdul Rashid Harun, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta para pemimpin setempat.
Bangunan Pejabat Daerah Kalabakan itu mula beroperasi pada 24 Julai lalu dengan kakitangan seramai 20 orang.
Mengenai masalah air yang sering dihadapi penduduk Tawau dan Kalabakan, Ewon berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini dan sedang diambil tindakan oleh Jabatan Air Negeri untuk mencari penyelesaian tuntas berhubung bekalan air itu.
“Cadangan pembinaan Loji Rawatan Air di Kalabakan antara penyelesaian kepada masalah air dan saya percaya wakil rakyat kawasan ini membawa perkara ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri serta untuk pengetahuan menteri berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, kementeriannya menyediakan peruntukan kecil untuk meneroka sumber bekalan air bawah tanah bagi kampung-kampung luar bandar yang menghadapi masalah air.
“Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah air di semua kampung, tetapi kita mulakan dahulu dengan satu kampung dengan meneroka sumber air bawah tanah dan saya percaya usaha ini akan dapat membantu Jabatan Air serta kementerian berkenaan menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Daerah Kalabakan merupakan sebuah daerah baharu di Sabah dengan keluasan 3,878.05 kilometer persegi yang terletak di bahagian barat daerah Tawau dan jaraknya dari Bandar Tawau adalah kira-kira 106 kilometer.
Kalabakan mendapat nama daripada perkataan ‘Kalap Angkan’ bermaksud ‘Dapat Makan’ berasal dari bahasa suku kaum Tidong iaitu etnik majoriti di daerah ini selain Murut.
Dari segi kegiatan ekonomi, masyarakat daerah itu bergantung kepada kegiatan pertanian iaitu kelapa sawit dan buah-buahan tempatan.
Selain itu, kegiatan perikanan juga amat baik kerana kedudukan daerah Kalabakan yang strategik berhampiran Sungai Kalabakan menjadikan daerah itu antara pengeluar Udang Galah di Sabah.
Dalam lawatan sehari itu, Ewon dan rombongan turut melawat beberapa jalan kampung di kawasan Kalabakan yang memerlukan perhatian kerajaan.
ER