Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Permuafakatan Guru dan Ibu Bapa Pendorong Kemajuan Pelajar

By 17 November 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Permuafakatan antara ibu bapa dan guru menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat penting sebagai pendorong kemajuan serta kejayaan seseorang pelajar.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Jabatan Pendidikan Labuan Ag. Marten Datuk Abdul Rahman, kejayaan pelajar tidak akan dapat dicapai tanpa usaha gigih dan komitmen yang tinggi dalam kalangan pentadbir, guru-guru ibu bapa dan yang utama usaha murid itu sendiri.

“Hubungan yang erat dan mesra, diiringi kerjasama yang padu antara ibu bapa dan guru diibaratkan seperti aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.

“Kerjasama ini sudah pasti menjadi pendorong dan pemudah cara dalam setiap usaha ke arah kemajuan anak-anak kita sebagai tonggak masa hadapan,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru bagi tahun 2019, di sini pagi tadi.

Persembahan daripada pelajar SK Tanjung Aru.

Persembahan daripada pelajar SK Tanjung Aru.

Beliau turut menyeru para ibu bapa untuk menyokong dan memberi kerjasama kepada PIBG sekolah.

“Peranan PIBG tidak dapat dinafikan dalam usaha membantu meningkatkan pencapaian sekolah dalam pelbagai bidang seperti akademik, kokurikulum, pembangunan fizikal dan pembentukan modal insan.

“Ibu bapa haruslah peka dan membantu kepimpinan PIBG supaya dapat mewujudkan satu pasukan yang mantap untuk menghadapi cabaran era globalisasi ini, kerana PIBG merupakan satu wahana yang amat berkesan bagi ibu bapa berbincang dan memberi pandangan yang perlu demi kecemerlangan anak-anak,” katanya lagi.

Ag. Marten turut merakamkan penghargaan kepada peranan dan pengorbanan guru dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang.

“Tidak dilupakan juga peranan dan pengorbanan guru amatlah besar, yang boleh melahirkan anak-anak kita insan yang mampu berfikir, bertindak dan mewarnai dunia.

“Terima kasih dan tahniah kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti ini,” tambahnya.

Hadir sama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru Faridah Amit dan Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru Kifli Ag. Anak.

-SH

Tinggalkan komen anda