Laporan/foto : Asmidar Zainol (Nabawan)
NABAWAN, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) mampu membenteras tempat berisiko wabak denggi di daerah ini.
Bagi meningkatkan pemahaman dan menggalakkkan penglibatan masyarakt setempat, Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan menganjurkan Majlis Pelancaran Program COMBI Gabungan 3 Kampung (Kampung Lima, Kampung Kebu Baru dan Kampung Anambai Baru) di Dewan Kampung Lima baru-baru ini.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Nabawan, Dr Kevin Isaac Joseph, program berkenaan adalah satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggunakan pendekatan komunikasi untuk mengubah tingkah laku manusia.
“Berdasarkan laporan kami, saban tahun berlakunya kes kejadian penyakit demam denggi di sini dan pada tahun 2016 kita menerima laporan dua kes wabak telah dilaporkan dan masing-masing satu kes telah dilaporkan pada tahun 2017 dan 2018.
“Oleh yang demikian, program hari ini telah dirancang bagi membantu memperkasakan komuniti yang terlibat untuk mengubah juga mengamalkan tingkah laku yang baru bagi mengurangkan kes kejadian penyakit demam denggi.
“Selain bertujuan untuk mengubah dan mengamalkan tingkah laku bagi mengurangkan kejadian penyakit demam denggi, ia juga menggalakkan penglibatan antara agensi kerajaan dan mempertingkatkan usaha sama dalam mencegah dan mengawal penyakit ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Nabawan, Datuk Bobbey Suan berkata, pihaknya akan memohon agar kementerian atau jabatan yang bertanggungjawab dapat menaik taraf parit-parit di kawasan kampung berkenaan.
“Saya telah meninjau keadaan parit-parit di sepanjang perjalanan ke kampung ini dan didapati ianya tidak begitu sempurna dan perlu diperbaiki agar masalah air bertakung selepas hujan dapat di atasi bagi mengelak pembiakan nyamuk aedes,
“Kita akan ambil tindakan secepat yang mungkin dan akan memaklumkan kepada pihak berkaitan supaya parit-parit ini dapat diperbaiki atau membina parit yang sesuai bukan sahaja untuk kampung ini tetapi juga di kampung-kampung lain terutama yang berhampiran dengan pekan Nabawan,” kongsinya kepada pemberita.
Bagi Sukarelawan COMBI, Labana Ompongoh, 45, program yang dianjurkan adalah bertepatan kerana secara tidak langsung dapat menggalakkan masyarakat kampung menjaga kebersihan dan kesihatan sendiri.
“Sebagai sukarelawan, kami telah diberi taklimat lebih awal dan hari ini ada pelancaran program COMBI di mana penduduk kampung turut diberi pendedahan dan taklimat agar semua orang tahu peranan masing-masing dalam mengatasi masalah penyakit demam denggi.
“Antara tugas sebagai sukarelawan COMBI adalah memantau dan mengenalpasti rumah-rumah dalam blok masing-masing sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sekiranya terdapat mana-mana rumah yang tidak bersih, teguran akan diberikan.
“Kita juga melantik seorang ahli dalam setiap rumah daripada kalangan keluarga agar memudahkan komunikasi dan buat masa sekarang setiap teguran yang diberikan mendapat reaksi yang baik daripada penduduk di sini,” ujarnya.
Tambah Labana, adalah menjadi harapannya supaya lebih seribu penduduk kampung di kawasan berkenaan sedar atas tanggungjawab mereka sendiri dalam menjaga kebersihan di persekitaran masing-masing secara berterusan demi kepentingan diri sendiri dan keluarga juga keluarga serta masyarakat amnya.
Sementara itu, penduduk Kampung Lima, Uran Antui, 54, berharap program seumpamanya dapat diadakan secara berterusan.
“Program hari ini adalah bagus kerana dapat membimbing orang kampung agar menjaga kebersihan bagi membentras pembiakan nyamuk ades.
Kami turut diberi panduan cara-cara mengatasi pembiakkan nyamuk berkenaan antaranya tidak membiarkan tin-tin atau botol-botol kosong bertakung iaitu dengan memungut dan sampah-sampah berkenaan perlu ditanam.
“Kalau boleh kami berharap ia dapat diteruskan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk memberi kesedaran kepada masyarakat yang ada di sini khasnya yang datang pada hari ini selain dapat membuat tinjauan berterusan supaya tempat-tempat pembiakan nyamuk ades ini dapat dihapuskan habis-habisan,” katanya.
Seramai hampir 1000 penduduk hadir bersama-sama menjayakan program berkenaan seawal 7.00 pagi dengan menyertai aktiviti senamrobik, pemeriksaan kesihatan, takimat pengawalan demam denggi, cabutan nombor bertuah dan persembahan artis-artis tempatan.
ER