Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

UMSKAL dan Persatuan Hindu Labuan Meriahkan Sambutan Deepavali

By 15 November 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Persatuan Hindu Labuan bekerjasama menjayakan sambutan Deepavali Peringkat UMSKAL, semalam.

Lima orang pelajar UMSKAL daripada keluarga berpendapatan rendah menerima sumbangan wang tunai daripada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) yang disampaikan Pengarah UMSKAL Prof Dr Murnizam Halik.

Dr Murnizam mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Persatuan Hindu Labuan, Datuk Ramasamy a/l Rengasamy yang banyak membantu menjayakan pelbagai program pelajar India termasuk acara kebudayaan dan keagamaan serta kemasyarakatan yang membabitkan pelajar, kakitangan dan warga Labuan sendiri.

“Datuk Ramasamy sering membantu menangani dan menyelesaikan isu yang membabitkan pelajar India di UMSKAL termasuk bantuan kewangan kepada pelajar kurang berkemampuan,” katanya yang ditemui dalam program tersebut, di sini.

Dr Murnizam (lima dari kanan) menyerahkan sumbangan daripada JAKMAS kepada pelajar yang kurang berkemampuan sambil diperhatikan Datuk Ramasamy (tiga dari kiri).

Dr Murnizam (lima dari kanan) menyerahkan sumbangan daripada JAKMAS kepada pelajar yang kurang berkemampuan sambil diperhatikan Datuk Ramasamy (tiga dari kiri).

Datuk Ramasamy pula merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan UMSKAL yang sentiasa bekerjasama dalam memastikan kebajikan pelajar kaum India mendapat perhatian.

“Saya berharap komitmen baik daripada pihak pengurusan UMSKAL itu akan berterusan untuk manfaat semua pelajar termasuk pelajar India dan berharap mereka dapat belajar bersungguh-sungguh dan menjaga nama baik keluarga serta aktif dalam pelbagai program sepanjang di kampus ini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Program Yugaindren a/l Alagas, berkata majlis itu bertujuan merapatkan hubungan perpaduan dalam kalangan pelajar dan kakitangan UMSKAL.

“Selain untuk meraikan Sambutan Deepavali, majlis ini diadakan untuk mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan pelajar dan kakitangan UMSKAL,” ujarnya.

Dr Murnizam turut mengagihkan 500 pek makanan tradisi masyarakat India iaitu ladoo kepada pelajar, kakitangan dan pensyarah di ruang legar Bangunan Menara.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Persatuan Hindu Labuan Kapten (B) Thevendran Thangavelu, Pengetua Kolej Kediaman Dr Hadzariah Ismail dan Penyelaras Program Henry Bating.

-SH

Tinggalkan komen anda