Laporan/ foto: Khairunnisa Abd Rahman/ Facebook Rasmi Kementerian Dalam Negeri
MELAKA TENGAH, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Terapi seni seperti lukisan, tenunan, muzik dan penulisan kreatif kini menjadi pendekatan efektif yang diaplikasikan kepada banduan dalam usaha membantu, merawat dan memulihkan konflik yang mereka hadapi.
Menurut Ketua Pengarah Penjara, Komisioner Jeneral Dato’ Seri Zulkifli Omar, Jabatan Penjara ketika ini kekurangan pegawai psikologi di mana seramai 45 pegawai sahaja ditempatkan di 38 penjara di seluruh negara.
“Kita mensasarkan sekurang-kurangnya 100 pegawai psikologi untuk ditempatkan di seluruh negara bagi membantu mengurangkan tekanan dan mengurus emosi banduan yang semakin bertambah setiap hari.
“Pegawai psikologi akan kenal pasti kecenderungan bakat, kemahiran dan minat banduan untuk diketengahkan melalui kaedah terapi seni ini. Dengan cara itu, perasaan dan tekanan penghuni penjara dapat dikurangkan serta hasil seni mereka dapat memberi pulangan pendapatan kepada jabatan dan banduan itu sendiri,”ujarnya.
Zulkifli turut menambah bahawa Program Pameran Terapi Seni yang merupakan anjuran bersama Jabatan Penjara Malaysia dan Muzium Warisan Akademik, Universiti Kebangsaan Malaysia bertempat di Muzium Penjara Banda Hilir, Melaka bukan untuk mempamerkan hasil-hasil karya penghuni penjara semata-mata.
“Objektif pameran ini juga adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang aktiviti pemulihan yang disediakan kepada penghuni penjara. Pameran ini juga berbentuk aktiviti pencegahan jenayah kepada masyarakat melalui penghayatan mereka terhadap pengalaman dan kesengsaraan yang ditanggung oleh penghuni penjara akibat jenayah yang dilakukan,” kata Zulkifli lagi.
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob turut berkenan melafazkan ucapan perasmian dalam program itu tadi dan amat teruja dengan bakat yang ditonjolkan oleh penghuni-penghuni penjara melalui persembahan nyanyian, tarian, orkestra, tenunan dan lukisan yang dipamerkan.
“Saya bangga kerana warga penjara sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Pada saya terapi seni ini merupakan elemen mengubati, membawa perubahan dan mendekati secara psikologi penghuni-penghuni penjara,” katanya.
Turut membuat persembahan dalam program itu ialah Jessica Loo yang merupakan pemain biola pertama yang bermain biola ketika meluncur di udara dan dia juga menjadi tenaga pengajar biola menerusi program khidmat masyarakat 100 jam di Sekolah Henry Gurney Telok Mas Melaka.
Majlis ini juga dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Jaafar, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis, EXCO Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Gnie Lim Siew Lin dan Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.
-KN