Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 3 Nov (Malaysiaaktif ) – Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), menerusi atlet Nazera Roslan meraih kejayaan dengan memungut pingat perak dalam kategori perseorangan wanita di UNIMAS International Regatta 2019 yang diadakan di UNIMAS Lake baru-baru ini.
Nazera, 25, membuktikan kehebatannya apabila turut meraih pingat gangsa bersama gandingannya Chow Kai Xuan, 22, dalam kategori beregu wanita.
Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL Ahmad Fadzly Abd Rahman, melalui kakitangannya Jasri Japar
mengucapkan tahniah atas kejayaan atlet tersebut yang bukan sahaja memperolehi pingat tetapi juga mampu memberikan saingan sengit kepada atlet yang mewakili universiti tempatan dan luar negara.
“Terima kasih juga kepada Pengarah UMSKAL Prof Dr Murnizam Halik dan Pengarah Pusat Sukan UMS Kota Kinabalu Ahmadi Nurdin atas sokongan serta kelulusan peruntukan kewangan bagi membolehkan kontinjen UMSKAL menyertai kejohanan tersebut.
“Semoga kejayaan ini akan terus menyuntik semangat ketika beraksi pada kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang. Sokongan semua pihak dibalas dengan kejayaan atlet UMSKAL dengan membawa pulang satu pingat perak dan tiga gangsa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Kecemerlangan Nazera semakin menyerlah apabila memperolehi pingat gangsa menerusi acara beregu campuran bersama pasangannya Mohd Syazrin Mat Said, 22 tahun.
Jasri Japar dan Mohd Nazri Mohd Ibrahim turut membawa pulang tiga pingat gangsa.
Selain UMSKAL, kejohanan itu turut disertai Universiti Teknologi Mara Sarawak (UITM Sarawak), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universitas Tanjungpura (UNTAN) dan tuan rumah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
-SH