Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Politeknik KK Terima Bangunan Kampus Luar

By 3 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid/Ersugandi Marsuki (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Majlis Penyerahan Bangunan Kampus Luar oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) kepada Politeknik Kota Kinabalu (PKK) berlangsung di perkarangan Bangunan Harummas, Polytechnic Commercial Centre, pada Jumaat.

Penyerahan simbolik di antara JPPKK dan PKK tersebut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan Pendidikan Tinggi, KPM Dato’ Che Sukri Che Mat.

Dato’ Che Sukri (baris hadapan dua dari kanan) bersama Muhammad Rumzi (kanan) serta warga PKK di hadapan Bangunan Harummas, Politeknik Kota Kinabalu

Dato’ Che Sukri (baris hadapan dua dari kanan) bersama Muhammad Rumzi (kanan) serta warga PKK di hadapan Bangunan Harummas, Politeknik Kota Kinabalu

JPPKK diwakili Pengarah Perancangan Program dan Institusi, Ts. Haji Muhammad Rumzi Mamat, manakala menerima bagi pihak PKK, Ts. Zainab Othman selaku Pengarah PKK.

Terdahulu Zainab dalam ucapan aluannya berkata, Bangunan Kampus Luar yang dinamakan Bangunan Harummas terdiri daripada empat buah blok merangkumi Blok Utama enam tingkat khusus untuk pejabat pensyarah, dan tiga Blok Akademik sebanyak 19 unit menempatkan kelas-kelas bagi sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

“Blok Harummas ini menempatkan dua buah jabatan akademik iaitu Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Jabatan Perdagangan dan sebuah jabatan sokongan akademik iaitu Jabatan Matematik, Sains dan Komputer. Kesemua program pengajian di bawah ketiga-tiga jabatan tersebut juga dijalankan di kampus luar ini, “katanya.

Menurutnya lagi, bilangan pelajar yang menghadiri kelas di bangunan tersebut adalah seramai 1,411 pelajar, manakala pelajar lain bagi program kejuruteraan seperti program Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik, kelas pengajian bagi program-program tersebut dijalankan di kampus utama PKK yang terletak berhadapan dengan lokasi Bangunan Harummas ini. Bilangan pelajar PKK secara keseluruhan adalah lebih kurang 4,500 pelajar.

Dato’ Che Sukri (tiga dari kanan) bersama pengurusan tertinggi JPPKK dan PKK (duduk dari kiri) Roseman, Zainab, Muhammad Rumzi dan Mohd. Sahran serta Ahli Pengurusan PKK.

Dato’ Che Sukri (tiga dari kanan) bersama pengurusan tertinggi JPPKK dan PKK (duduk dari kiri) Roseman, Zainab, Muhammad Rumzi dan Mohd. Sahran serta Ahli Pengurusan PKK.

“Bangunan Harummas merupakan penggantian bangunan utama Core B di Kampus Utama PKK yang telah dirobohkan atas dasar keselamatan pada tahun 2014.

“Perpindahan masuk ke bangunan baharu Harummas telah dilaksanakan pada Julai 2018 dan sesi pengajian juga turut dijalankan tidak lama kemudian.

“Kami di PKK merakamkan penghargaan kepada KPM dan JPPKK di atas penyerahan bangunan baharu ini.

“Semoga dengan kemudahan ini dapat memberikan keselesaan dan semangat yang lebih tinggi bagi warga pendidik dan para pelajar untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” kata Zainab.

Antara warga PKK yang turut hadir pada Majlis Penyerahan Bangunan Kampus Luar PKK

Antara warga PKK yang turut hadir pada Majlis Penyerahan Bangunan Kampus Luar PKK

Lebih 150 warga PKK terdiri daripada staf akademik dan sokongan akademik hadir bagi menyaksikan majlis yang bersejarah tersebut.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi JPPKK, Ts. Roseman Mat Jidin; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Mohd. Sahran Mohidin, serta ahli pengurusan PKK dan pegawai-pegawai kanan KPM dan JPPKK.

ER

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda