Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyatakan komitmen untuk terus membantu membangunkan industri lada hitam di Sabah, khususnya di daerah Kota Belud.
Beliau juga akan meneruskan sokongan dan bantuan kepada para pekebun kecil lada hitam Kota Belud, khususnya di Kadamaian seperti yang dilaksanakannya sebelum menjadi wakil rakyat.
“Sebelum menjadi wakil rakyat, saya berusaha mendapatkan peruntukan bagi membekalkan bibit lada hitam, tiang sokongan, kursus dan lawatan berkaitan kepada para pekebun kecil di Kadamaian.
“Selepas menjadi wakil rakyat, saya menyediakan peruntukan khas untuk meneruskan inisiatif-inisiatif tersebut sejak tahun lepas.
“Justeru, saya akan terus menyediakan peruntukan untuk tujuan ini pada 2020 sebagai salah satu program pembangunan ekonomi penduduk di Kadamaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kursus Asas Tanaman Lada Hitam di Dewan UPPM Kadamaian, pada Khamis.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, beliau juga sedang berusaha membangunkan Kompleks Keusahawanan Desa di Pekan Taginambur di mana fasa satu iaitu kerja-kerja penyediaan tapak sudahpun dimulakan.
“Saya berharap ini boleh menjadi salah satu platform kepada usahawan produk lada hitam di sini.
“Saya dimaklumkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Yayasan Sabah dan Universiti Sains Malaysia (USM) berkolaborasi membantu membangunkan sebuah bangunan keusahawanan dan pusat pemprosesan produk lada hitam di Kg Lompios, Kadamaian di mana kampung ini merupakan antara komuniti pekebun kecil lada yang tersusun di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan keusahawanan desa merupakan antara wawasan dan pelan beliau sebagai wakil rakyat untuk membangunkan kawasan Kadamaian selain berusaha menaiktaraf jaringan kemudahan asas.
Sehubungan itu beliau menggesa PLAS dan juga para pekebun kecil untuk berusaha mendapatkan kemudahan berkaitan bukan hanya daripada Lembaga Lada Malaysia, tetapi daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) dan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan berkaitan.
“Ketua Menteri telah melancarkan Pelan Pembangunan Pertanian Sabah (Sabah Agriculture Blueprint) pada bulan lepas dan saya amat yakin ada kemudahan berkaitan yang disediakan oleh MAFI untuk pembangunan industri lada hitam di Sabah.
“Manakala, di KPLB Sabah, kita turut merancang untuk memperkenalkan tanaman komoditi ini di bawah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET),” katanya.
Ewon berkata, pada tahun lepas, beliau meluluskan peruntukan fasa satu bagi membina sebuah jalan baharu menuju ke kawasan ladang lada hitam di Kg Kiau.
“Saya akan menyediakan peruntukan bagi fasa seterusnya. Saya juga bersetuju supaya sebuah bangunan keusahawanan desa yang akan dioperasikan oleh PLAS dapat dibina di Ranau. Ini adalah antara komitmen berterusan saya bagi menyokong industri lada hitam di Sabah,” katanya.
Beliau yang pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah di Lembaga Lada Malaysia pada 2013 hingga 2015 telah membantu menganjurkan pelbagai program promosi dan kursus asas tanaman lada hitam di Sabah sepanjang tempoh tersebut.
“Dalam tempoh tersebut, banyak pekebun kecil telah memulakan penanaman lada hitam. Ini kemudiannya membawa kepada penubuhan Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS) pada 2016.
“Dalam masa yang sama, kita juga mencadangkan kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) agar menjadikan ini sebagai salah satu program aktiviti ekonomi tambahan kepada skim mereka.
“Hari ini saya berbangga kerana para pekebun kecil lada hitam bukan sahaja mengusahakan tanaman ini di ladang semata-mata, tetapi juga telah mengusahakan nurseri dan pelbagai produk hiliran berasaskan lada hitamnya antaranya serbuk masakan, sambal, kerepek, minyak wangi, minyak urut, kosmetik dan sebagainya.
“Saya dimaklumkan seramai 10 orang ahli PLAS terlibat sebagai usahawan produk hiliran di mana dua orang daripadanya adalah dari daerah Kota Belud. Semoga kejayaan mereka ini menjadi motivasi kepada pekebun kecil dan usahawan yang lain,” tambahnya.
Penanaman lada hitam di Sabah semakin berkembang sejak mulai dibangunkan semula pada 2011 semasa Tan Sri Bernard Dompok menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia yang telah meminta agar Lembaga Lada Malaysia mengujudkan pejabatnya di Sabah.
Sehingga hari ini, tanaman lada hitam dijalankan oleh para pekebun kecil antaranya di Kota Belud, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, Tambunan, Tenom dan Penampang.
Bagi daerah Kota Belud, penanaman secara aktif bermula secara meluas pada 2013 di Kg Kiau, Kg Kaung, Kg Kelawat, Kg Tombotuon, Kg Taginambur, Kg Lasau dan Kg Timbang.
“Beberapa tahun lepas, semasa saya bertugas di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, kita telah menghantar sebanyak 40 orang pekebun kecil dari Kota Belud berkursus di Sarawak atas pembiayaan Lembaga Lada Malaysia.
“Saya gembira kerana sebahagian daripada peserta tersebut masih terus mengusahakan tanaman komoditi ini dan menjadi contoh pekebun kecil yang berjaya,” katanya.
Sempena kursus tersebut, Ewon menyampaikan sumbangan bibit lada hitam kepada peserta baharu. Kursus sehari anjuran Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS), Cawangan Kota Belud itu disertai 60 peserta.
Turut hadir Presiden PLAS yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lada Malaysia, Dennison Indang; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis dan Pengerusi PLAS Kota Belud, Janus Tioon dan ahli-ahli jawatankuasa PLAS.
ER