Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kunjungan Kasih TPM Ke PPS SK Gual Tinggi, Pasir Mas

By 4 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:W.Noriza bt. W.Jaafar (Pasir Mas)

PASIR MAS, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang untuk melawat mangsa banjir pukul 10.00 pagi tadi dan beliau telah disambut oleh Ketua-Ketua Jabatan Daerah Pasir Mas dan diberi taklimat oleh Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Terdapat seramai 809 mangsa daripada 463 keluarga ditempatkan di PPS SK Gual Tinggi yang mula dibuka sejak Sabtu lalu dan melibatkan beberapa kampung sekitar Rantau Panjang.

Di samping beramah mesra dengan mangsa, Wan Azizah turut mengagihkan kit makanan kepada mangsa banjir.

Dalam lawatan selama sejam itu Wan Azizah berkata kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kepada mangsa banjir. Sebelum ini mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS mendapat bantuan khas sebanyak RM500.

Menurut seorang mangsa banjir Humairah Ismail, 33, dari Kampung Banggol Kulim berkata “saya terharu dengan lawatan TPM ke SK Gual Tinggi dan ini menunjukkan beliau seorang pemimpin yang prihatin terhadap mangsa banjir.”

Aktiviti mewarna di PPS

Aktiviti mewarna di PPS

Seterusnya beliau menyatakan telah berpindah ke PPS ini sejak tiga hari lepas bersama tiga orang anaknya setelah air memasuki rumah hingga ke paras pinggang dan mengambil keputusan untuk berpindah ke PPS ini.

Aminah Yusof, 59, berkata “Saya teruja dapat bersalam dengan TPM dan mengambil keputusan berpindah ke PPS ini kerana di sini selamat serta disediakan makanan yang mencukupi serta mempunyai doktor sekiranya sakit.”

PPS SK Gual Tinggi ini juga mempunyai agensi kerajaan seperti Kesihatan, Rela, APM dan lain-lain agensi yang bertugas selama 24 jam untuk memberi perkhidmatan kepada magsa banjir.

Hadir sama ke lawatan ini antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Datuk Mumtaz Md. Nawi, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah NADMA Negeri, Rosli Ibrahim.

-NAZ

Tinggalkan komen anda