Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PSP: Semua Pihak Disaran Ikuti Panduan Makanan Selamat WHO

By 31 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar Fail

PUTRAJAYA, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini menyarankan semua pihak terlibat dengan Program Sarapan Pagi (PSP), sentiasa mengikuti panduan makanan selamat yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarahnya Datuk Dr Khalid Ibrahim, berkata panduan berkenaan adalah menjaga kebersihan, mengasingkan makanan mentah dari makanan yang sudah dimasak, masak dengan cara yang betul, simpan makanan pada suhu selamat dan gunakan air serta bahan mentah yang selamat.

“Makanan yang diberikan di dalam PSP ini, perlu dipastikan bersih dan selamat. Keselamatan makanan semasa pembekalan, penyediaan dan penyimpanan makanan, perlu diberi perhatian serius untuk mengelakkan berlakunya penyakit bawaan makanan, terutamanya keracunan makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Khalid juga menyeru agar pelajar dan guru mengamalkan ‘Lihat’, ‘Hidu’ dan ‘Rasa’ sebelum menikmati makanan yang diberikan di PSP berkenaan, dan amalan ini sekurang-kurangnya dapat menjadikan salah satu benteng diri, daripada mengalami keracunan makanan.

Dalam kenyataan berkenaan juga Dr Khalid berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan program yang mementingkan gaya hidup sihat dan merangsang tumbesaran, dan ini menjadikan program tersebut amat bermanfaat kepada pelajar.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataannya sebelum ini mengumumkan PSP fasa satu akan bermula pada 20 Jan ini di 100 buah sekolah rendah seluruh negara, melibatkan 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari, dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.

PSP di sekolah rendah merupakan inisiatif terbaru KPM, untuk menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang, bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda