Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)
SEREMBAN, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Penganjuran Karnival Geng Masjid Ambang 2020 yang diadakan di Masjid Sri Sendayan di sini, berjaya menarik kehadiran orang ramai terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.
Karnival yang bertujuan mengajak orang ramai mengimarahkan masjid selain membantu peniaga muslim ini telah memasuki edisi ke-21 tahun ini.
Abdul Hakim yang merupakan salah seorang pengunjung berkata golongan muda dapat mengisi masa mereka dengan aktiviti bermanfaat yang dianjurkan sepanjang program tersebut berlangsung.
“Pengisian program yang santai seperti Pertandingan Fun Beyblade Geng Masjid, Pertandingan Fun Dart dan pengisian keagamaan seperti Pertandingan Azan kategori sekolah rendah dan menengah menarik minat anak-anak saya yang meminta saya membawa mereka ke sini,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Hisyam berkata peranan golongan muda ke arah menyumbang kepada kualiti mengimarahkan masjid tidak dapat dinafikan kerana mereka adalah generasi pelapis kepada kepimpinan masa hadapan.
“Kehadiran mereka mampu memberi impak positif kepada kelangsungan masjid kerana peranan masjid bukan hanya sebagai tempat beribadah, tetapi juga sebagai pusat pendidikan, riadah, bersukan dan tempat untuk umat Islam berhimpun,” katanya.
Program yang berlangsung selama empat hari ini melabuhkan tirainya dengan pengisian Forum Geng Masjid Ambang 2020.
-AK