
Laporan/ foto: Muhammad Arief/ Muhamad Khairul Faizal (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 900 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah (SMKSAS) telah menyertai Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah yang melibatkan laluan sepanjang 6 kilometer mengelilingi kawasan Tanah Rata, di sini, petang semalam.
Menurut guru penyelaras, Rohaida Yahya, peserta terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan tingkatan satu sehingga tingkatan lima, manakala pelajar tingkatan enam pula terlibat selaku urus setia program. Tambah Rohaida lagi kejohanan ini merupakan acara tahunan yang diadakan oleh pihak sekolah.
“Tumpuan kepada aktiviti ini adalah untuk melibatkan penyertaan pelajar sekolah dan turut diberikan penekanan dalam memupuk budaya sukan dalam kalangan pelajar bagi menjadikan sukan sebagai satu daripada amalan gaya hidup sihat,” ujarnya.
Menurutnya lagi, “Kejohanan ini juga menawarkan hadiah bagi setiap pemenang iaitu 15 peserta terawal yang berjaya menamatkan larian. Selain itu, markah juga dikumpul berdasarkan rumah-rumah sukan bagi memilih juara keseluruhan.”
Urus setia yang ditemui, Muhammad Afiq, 19, berkata, “Kejohanan merentas desa memang sangat dinanti-nantikan oleh kami kerana aktiviti sukan ini memang menguji ketahanan badan kerana ia merupakan sukan lasak.”
Afiq menambah, sukan ini memberi pendedahan kepada pelajar selain mencungkil bakat sukan pelajar. Malah merentas desa dapat menyemarakkan semangat persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar serta menyajikan pemandangan yang indah di kawasan Cameron Highlands sepanjang trek larian.
“Melalui kegiatan sukan, para pelajar bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang ini, malah dapat menimba pelbagai variasi pengalaman seperti pembangunan sosial, kepimpinan serta dapat mendisiplinkan diri,” ujarnya penuh semangat.
-KN