Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Amanat Terakhir Cetus Hiba

By 14 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)

KUCHING, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Suasana sedih menyelubungi pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak apabila Abang Sardon Abang Hashim menyampaikan amanat terakhirnya sebagai Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak pada Majlis Perhimpunan Majlis Jasamu Dikenang pagi ini.

Dalam amanatnya, Abang Sardon menggesa agar semua pegawai dan kakitangan Penerangan Malaysia Sarawak terus komited untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab seiring dengan kehendak dan keperluan jabatan.

“Sebagai seorang penjawat awam, kita mesti melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi bangsa, agama dan Negara dan pada masa yang sama, tugas dan tanggungjawab ini perlu seiring dengan intipati jabatan supaya kita dapat memartabatkan Jabatan Penerangan Malaysia sebagai sebuah agensi yang disegani serta dihormati,” katanya.

Abang Sardon juga memberikan nasihat agar pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak tidak memandang pangkat dan gelaran ketika melaksanakan tugas seharian, ini kerana perbezaan pangkat dan gelaran akan mewujudkan jurang perbezaan yang ketara sehingga boleh menjejaskan mutu serta kualiti pekerjaan yang dilaksanakan.

“Pangkat dan gelaran bukanlah sesuatu yang dibanggakan sebaliknya gunakannya sebagai asas untuk meningkatkan mutu kerja yang berkualiti kerana saya yakin semua pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan Sarawak mampu menggalas tugas masing-masing demi mencapai tahap kecemerlangan yang diingini,” katanya lagi.

Abang sardon menerima cenderamata daripada Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak Aziz Abdul Rahman (berbaju biru).

Abang sardon menerima cenderamata daripada Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak Aziz Abdul Rahman (berbaju biru).

Majlis Jasamu Dikenang ini turut meraikan perpindahan Timbalan Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak Ali Suhaili, yang akan berpindah tugas sebagai Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Selangor.

Pada kesempatan yang sama, Ali Suhaili turut menyeru agar semua pegawai dan kakitangan yang ada dapat memberikan kerjasama kepada penggantinya dan kepada Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak yang baharu.

Ali Suhaili berkata sepanjang tiga tahun beliau berada di jabatan ini, terlalu banyak kenangan dan sejarah tercipta khususnya kenangan melaksanakan tugas bersama-sama khususnya kerja-kerja di lapangan.

“Semua kerjasama yang dilakukan sebelum ini akan menjadi kenangan terindah dan tersimpan rapi sebagai sejarah yang kita pernah bersama melaksanakan tanggungjawab sebagai Warga Penerangan Sarawak,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda