
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
KUCHING, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Tinjauan di Medan Niaga Satok Kuching mendapati bahan mentah yang diperlukan oleh orang ramai masih banyak dan mencukupi bagi kegunaan mereka pada musim perayaan ini.
Peniaga ayam, Effendy Hashim, berkata stok daging ayam untuk musim perayaan sememangnya ditempah awal dalam kuantiti yang banyak pastinya tidak menimbulkan masalah kekurangan bahan mentah ini kepada pengguna.
“Pelanggan dari kaum Cina lebih suka membeli daging ayam yang sudah disembelih mengikut kaedah Islam memandangkan mereka akan memasak juadah untuk dihidangkan kepada tetamu Muslim yang datang berkunjung ke rumah mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Kueh Kwang Wei menyifatkan kedatangan musim perayaan memberikan keuntungan berganda khususnya kepada peniaga sepertinya.
“Jualan sayur-sayuran dan pelbagai bahan mentah lain menjadi pilihan pelanggan dan saya terpaksa membuat tempahan serta menyediakan stok yang lebih banyak daripada hari-hari biasa untuk memenuhi keperluan pelanggan,” katanya, di sini.
Bagi Ngillo Sigar, pula pelanggannya yang terdiri pengusaha kedai makanan dan minuman datang untuk membeli bekalan yang secukupnya bagi kegunaan perniagaan mereka memandangkan majoriti gerai jualan di Medan Satok Kuching ini akan ditutup bermula petang ini hingga habis Tahun Baharu Cina.
“Bayangkan tiga hari kami peniaga di sini akan menutup operasi jual beli bermula petang ini hingga Isnin maka sudah pastinya banyak bekalan yang dibeli oleh pelanggan saya untuk dijadikan stok sepanjang penutupan banyak gerai jualan di sini,” jelasnya.
Pada masa yang sama, kesemua peniaga yang ditemui masih mematuhi serta mengekalkan harga yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) khususnya bagi bahan-bahan mentah terkawal seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran import dan lain-lain.
-SH