
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Guru dan ibu bapa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan berganding bahu mengumpul dana untuk membina sebuah dewan terbuka bagi manfaat pelajar dan sekolah tersebut.
Yang Di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ir Zaidi Ayub, berkata dewan tersebut berjaya dibina dengan kos hampir RM300 ribu tanpa bantuan peruntukan kerajaan.
“Sesungguhnya dewan ini terbina hasil penyatuan hati antara guru-guru dan ibu bapa apabila mereka bersama menyumbang kepada PIBG untuk membina dewan ini.

Dewan terbuka SMK Darul Ehsan yang berjaya dibina hasil sumbangan guru, ibu bapa dan orang ramai dengan kos hampir RM300 ribu.
“Saya amat terharu apabila guru-guru juga sanggup memotong gaji mereka untuk disumbangkan kepada dana pembinaan. Pada tahun 2018 sumbangan guru berjumlah 25 peratus daripada hasil sumbangan keseluruhan,” katanya dalam nada terharu.
Zaidi berkata kesungguhan para guru untuk menyiapkan kemudahan itu dapat dilihat apabila Pengetua dan guru-guru terbabit setiap hari hadir meninjau perkembangan pembinaannya sehingga siap pada Mac 2019.
“Walaupun mereka tiada pengetahuan dalam bidang pembinaan atau seni bina, namun mereka sanggup meninjau serta berbincang bersama bagi memastikan setiap masalah dapat diatasi.
“Kita berharap kutipan dana untuk fasa ketiga nanti dapat dijayakan bagi memasang penghalang tempias hujan, pendawaian elektrik, kipas dan sistem pembesar suara.
“Di samping manfaat untuk aktiviti para pelajar, ianya boleh disewakan kepada masyarakat sekitar bagi mengumpul dana PIBG,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Agung PIBG, perasmian dewan PIBG D’Ehsan dan pelancaran Sambutan 25 Tahun SMK Darul Ehsan di Selayang Baharu, hari ini.
Perasmian disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Abdul Rahim Ahmad Kasdi dan turut dihadiri Pengetua SMK Darul Ehsan, Noraizan Brahim serta ibu bapa.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata usaha gigih guru-guru, ibu bapa dan para penyumbang lain bagi merealisasikan dewan terbuka itu wajar dicontohi dan di sanjung tinggi.
“Saya amat kagum apabila guru-guru sanggup membuat potongan gaji bagi menyediakan infrastruktur agar para pelajar dapat melalui proses pembelajaran dengan lebih selesa.
“Ini menunjukkan persatuan ibu bapa dan guru merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah,” katanya.
-NAZ