
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis Perasmian Kolej al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah berlangsung pagi semalam yang merupakan kesinambungan iltizam kerajaan negeri. Majlis ini turut dibantu oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk memartabatkan al-Quran melalui pendidikan al-Quran bagi mengeluarkan huffaz berwibawa yang menyumbang kepada pembangunan Islam di negeri Melaka.

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, hampir 10 tahun lepas, di Masjid Sayyidina Ali dengan nama Maahad Tahfiz al-Quran Masjid Sayyidina Ali, kolej ini bermula dengan belasan orang mahasiswa sahaja namun kini, jumlah mahasiswanya mencecah hampir 70 orang.
“Dengan pembinaan bangunan baharu ini, kolej ini mampu menampung sehingga 120 orang dalam satu-satu masa, dan kapasiti ini akan dimaksimumkan untuk pengambilan pada masa hadapan.
“Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan terbinanya Kolej yang dilengkapi pelbagai kemudahan terkini ini, memudahkan pembelajaran dan pengajaran bakal-bakal huffaz. Walaupun kolej ini masih dalam fasa penambahan beberapa kemudahan, pihak JAIM yang dibantu oleh MAIM telah berjaya menyediakan penempatan dan kemudahan prasarana yang terbaik bagi memastikan pelaksanaan program akademik dan kokurikulum berjalan lancer,” ujarnya.
Katanya lagi, kurikulum Kolej al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) menggunakan sepenuhnya kurikulum Darul Quran, JAKIM dengan maksud, graduan Kolej al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) ini nanti setara dengan graduan Darul Quran, JAKIM dan mempunyai kelayakan serta peluang melanjutkan pengajian yang sama.
“Kolej ini menawarkan dua program diploma utama, iaitu Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, serta Diploma Tahfiz al-Quran dan Pengurusan Halal. Sehingga hari ini seramai 343 graduan telah dihasilkan yang sebahagian besarnya menyambung pengajian di dalam dan luar negara.
“Matlamat pendidikan bukanlah untuk melahirkan graduan yang cerdas otaknya sahaja, dalam masa yang sama untuk mengasah kemahiran dan memperkasa sahsiah diri. Bergerak ke matlamat yang sama, Kolej al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) menawarkan pelbagai kokurikulum dengan pelbagai pilihan seperti seni bela diri (silat) dan memanah.
“Pada masa hadapan, lebih banyak kokurikulum akan ditambah sesuai dengan permintaan mahasiswa seperti fotografi dan seni orator,” katanya semasa berucap di majlis tersebut.
-KN