
Laporan/foto : Anuar Che Amat (Perlis)
ARAU, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Untuk memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada masyarakat mengenai Novel Koronavirus, Jabatan Penerangan Negeri Perlis telah mengadakan Program Info On Wheel di beberapa tempat tumpuan seperti pasar sehari, pasar malam dan kawasan-kawasan riadah di negeri ini.
Penyelaras Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Norazila Mat Zain memaklumkan bahawa program ini merupakan satu kaedah penerangan secara bersemuka dengan orang awam agar mereka lebih peka dan memahami mengenai bahaya wabak tersebut serta langkah-langkah pencegahan yang perlu mereka amalkan.
“Pada hari ini kami telah mengedarkan lebih dari 300 risalah berkaitan bahaya wabak tersebut dan juga risalah langkah-langkah pencegahan di Pasar Sehari Simpang Empat.
“Masyarakat perlu mengambil tahu langkah-langkah pencegahan yang perlu dipatuhi bagi mengurangkan risiko dijangkiti koronavirus seperti membasuh tangan dengan kerap dan memakai topeng penutup mulut ketika berada di tempat awam,” ujarnya.

Pengunjung yang ditemui menunjukkan isyarat bagus di atas daya usaha JaPen Perlis menyebarluaskan penerangan berkaitan koronavirus dan dasar-dasar kerajaan.
Tambah beliau lagi, walaupun setakat ini, tiada laporan atau kes koronavirus diterima namun masyarakat perlu peka dan prihatin tentang keadaan disekeliling serta mengambil langkah-langkah pencegahan jika mendapati terdapat ahli keluarga atau jiran tetangga yang mempunyai simptom-simptom jangkitan.
“Selain itu kami turut mengedarkan risalah-risalah serta buku-buku berkaitan dasar-dasar kerajaan seperti mySalam, e-dompet dan inisiatif-inisiatif yang terdapat di dalam Bajet 2020.
“Pihak kami telah memilih 15 kawasan tumpuan orang ramai untuk memberi penerangan serta membuat hebahan dengan unit bergerak,” tambah beliau lagi.
Seorang pengunjung pasar tersebut, Hamzah Ahmad memaklumkan beliau sangat berterima kasih di atas usaha yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Negeri Perlis ini demi memberi kesedaran kepada penduduk setempat.
“Selama ini saya cuma mendengar berita mengenai wabak ini melalui radio dan televisyen sahaja namun pada hari ini Jabatan Penerangan telah mengedarkan risalah mengenai bahaya wabak tersebut dan langkah-langkah pencegahan yang akan saya bawa balik untuk dikongsikan bersama-sama ahli keluarga yang lain,” katanya lagi.
Program ini juga turut mendapat kerjasama dari Jabatan Penyiaran Negeri Perlis (Perlis FM) dan BERNAMA Perlis.
-NI-