
PUTRAJAYA, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Pulau Pinang terus mempergiatkan penerangan kepada masyarakat berhubung langkah pencegahan dan penularan wabak 2019 novel koronavirus menerusi program ‘Info on Wheels’.
Pengarahnya, Sabri Said berkata pihaknya akan bergiat lebih aktif dengan menambah bilangan program kepada empat setiap hari bagi memberikan maklumat secara terus dan bersemuka dengan rakyat berkenaan inisiatif dan dasar kerajaan serta menyebarluaskan maklumat mengenai koronavirus.
“Ini adalah satu usaha sebagai langkah pencegahan awal kepada masyarakat. Alhamdulilah, sambutan daripada masyarakat amat menggalakkan dan ramai yang datang.
“Kita juga amat bertuah hari ini kerana Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo turut bersama-sama mengedarkan risalah memberi penerangan serta membantu masyarakat untuk memahami lebih dalam tentang wabak koronavirus,” katanya kepada pemberita selepas program itu di Kompleks Makanan dan Pasar Desa Mayang, Bukit Gedung, Bayan Lepas hari ini.
Terdahulu pada program itu, Gobind turut meluangkan masa kira-kira 45 minit mengedarkan risalah berhubung wabak jangkitan koronavirus kepada orang ramai di kompleks makanan itu.
Mengulas lanjut, Sabri berkata program berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dengan empat program dijalankan setiap hari di semua daerah di Pulau Pinang.
Beliau berkata penerimaan masyarakat terhadap program itu menunjukkan sokongan positif selepas mendapati masyarakat lebih memahami sesuatu perkara atau isu diterangkan melalui cara bersemuka.
“Kalau kita lihat daripada sambutan program yang kita buat semalam di Rope Walk, dan hari ini di kawasan Bukit Gedung kita dapati memang usaha-usaha ini dapat memberi penerangan yang lebih jelas dan masyarakat perlukan maklumat serta bantuan daripada pihak berkenaan untuk memaklumkan kepada mereka secara lebih dekat.
“Dalam konteks wabak koronavirus pada hari ini kita berjaya memaklumatkan hampir 200 pengunjung di kawasan pasar di Bukit Gedung ini,” katanya dan menambah bahawa rakyat menyedari bahawa negara dalam proses mengambil langkah-langkah pencegahan koronavirus.
Sabri berkata program Info on Wheels itu akan menjadi program berterusan selepas ini dan setakat ini, sebanyak 23 program telah dijalankan di Pulau Pinang.
– BERNAMA