
Laporan/foto: Masitah Mat Zin/Muhammad Luqmanul Hakim Azmi (Seremban)
SEREMBAN, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah sebuah organisasi yang cukup signifikan terhadap perkembangan positif sekolah dan kemajuan pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang disusun bersama.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata para ibu bapa perlu mengambil peluang dalam memperkasakan institusi PIBG serta memainkan peranan yang lebih berkesan bagi membantu sekolah menyusun program yang bermanfaat kepada pelajar.
“Saya yakin dan percaya sekiranya PIBG sesebuah sekolah itu kukuh, sekolah pasti akan dapat mencapai pelbagai kejayaan dan saya juga berharap agar sekolah ini akan terus berkembang maju dan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang dengan sokongan ibu bapa dan masyarakat setempat,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Warisan Puteri, di sini semalam.
Wakil PIBG SK Taman Warisan Puteri, Ahmad Kamil Basir, berkata ibu bapa tidak seharusnya melepaskan peluang untuk melibatkan diri dalam program sekolah demi kemajuan pembelajaran anak-anak mereka.
“Sememangnya pada waktu ini ibu bapa sering sibuk dengan kerjaya dan komitmen yang lain, tetapi mereka juga perlulah mengikuti perkembangan anak-anak di sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, majlis penyerahan bantuan persekolahan 2020 serta meraikan anak-anak yang cemerlang dalam peperiksaan di SK Taman Warisan Puteri turut diadakan di Dewan Terbuka SK Taman Warisan Puteri, Sikamat.
-AK