
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Azri Onn (Labuan)
LABUAN, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Karnival Pendidikan Kerjaya Kolej Matrikulasi Labuan (KML) 2020 beri akses kepada para pelajar untuk memilih bidang pengajian di peringkat universiti yang bertepatan dengan kerjaya impian mereka.
Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar Masah Abu Mansor, berkata penganjuran karnival ini bertujuan memberi akses kepada peningkatan pembangunan kendiri pelajar di Kolej ini.
“Sesi taklimat yang diadakan oleh pegawai dari setiap universiti bertujuan menyampaikan maklumat sebenar secara langsung dengan jelas mengenai setiap bidang yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.
“Taklimat universiti ini memberi tumpuan kepada pengajian ijazah pertama yang bersesuaian dengan kehendak pasaran kerja yang kompetetif pada masa akan datang.
“Perkembangan teknologi dan reformasi Industri 4.0 menjadikan masyarakat khususnya pelajar mesti memilih bidang pengajian yang relevan dan signifikan dengan dunia teknologi pasca moden,” jelasnya ketika merasmikan karnival itu di Dewan Mutiara KML, di sini baru-baru ini.
Menurut penyelaras program Zaliza Bandon, karnival tersebut diadakan setiap tahun sejak 2002.
“Karnival ini menjadi program tahunan Sektor Hal Ehwal Pelajar Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) dan KML serta turut menerima kunjungan daripada pelajar daripada sekolah-sekolah berhampiran,” katanya semasa ditemui media.
Karnival Pendidikan Pendidikan Kerjaya KML 2020 disertai 19 Universiti Awam, 10 Universiti Swasta, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA.
Antara universiti terlibat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Sabah, dan Universiti Malaysia Sarawak.
-SH