Skip to main content
Berita TengahHomePutrajaya

Kadar Cukai Tanah Industri Dikurangkan 80 Peratus – MB Pahang

By 23 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Ihsan BERNAMA

PUTRAJAYA , 23 Jan (Malaysiaaktif)  – Kerajaan negeri Pahang hari ini mengumumkan pengurangan kadar cukai tanah bagi kategori industri sebanyak 80 peratus berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengurangan yang diberikan menerusi remisyen itu diputuskan selepas mendapat rayuan daripada pemain industri terhadap kadar baharu cukai tanah yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lepas.

“Menerusi remisyen ini, cukai tanah kategori industri turun kepada 50 sen satu meter persegi berbanding RM2.50 bagi semeter persegi mengikut cukai yang diwartakan bagi tahun 2020 sebelum ini,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media di Wisma Sri Pahang  semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Tanah dan Galian Pahang Datuk Nazri Abu Bakar, Pengerusi Persekutuan Dewan-dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pahang Tan Sri Lim Sing@Lam Kam Seng dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Pahang, Wong Kok Loon.

Wan Rosdy berkata remisyen itu juga diberikan kepada kawasan perindustrian yang mempunyai kadar cukai tanah lebih tinggi berbanding kawasan perindustrian lain, iaitu di daerah Kecil Gebeng dan daerah Kecil Genting Highlands.

“Bagi daerah Kecil Gebeng, kadar cukai tanah perindustrian selepas remisyen ialah RM1 berbanding RM5 semeter persegi sebelum ini manakala cukai di daerah Kecil Genting Highlands menjadi 80 sen berbanding RM4 semeter persegi sebelum ini,” katanya.

Beliau turut mengumumkan cukai tanah kategori pertanian bagi keluasan melebihi 40 hektar di seluruh Pahang turut diberi remisyen, kadar baharunya ialah RM250 sehektar berbanding kadar cukai dikuat kuasakan sebelum ini sebanyak RM300 sehektar.

Untuk rekod, Wan Rosdy berkata pemilik tanah kategori perindustrian di negeri ini ialah seramai 8,288 pemilik manakala 282,429 pemilik mempunyai tanah kategori pertanian.

Bagi tanah berstatus ‘Tiada Syarat’ (Nil Condition) pula, Wan Rosdy berkata 6,360 pemiliknya memohon menukar kepada syarat guna tanah bagi mendapat kadar baharu yang bersesuaian tanpa bimbang mengenai tarikh akhir pembayaran cukai.

“Bagi pemilik tanah yang masih dalam proses penukaran status tanah dan permohonannya melangkaui tarikh akhir pembayaran cukai pada 31 Mei ini, bayaran itu akan ditangguhkan sehingga proses itu selesai,” katanya.
– BERNAMA

Tinggalkan komen anda