Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Kelab Adat Perpatih Ditubuhkan di SMK Tunku Besar Burhanuddin

By 16 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Ahmad Fitri Jasni (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang menghadiri Majlis ‘Olek Adat Lingkungan’ dan Perasmian Kelab Adat Perpateh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin, Seri Menanti, di sini semalam.

Menurut Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, rombongan diraja amat berbesar hati dengan program tersebut dan berharap anak-anak di sekolah ini dapat mempelajari tentang Adat Perpatih dengan lebih baik dan dapat meneruskan adat yang unik ini.

“Adat Perpatih merupakan satu peraturan sistematik yang mengandungi nilai kekeluargaan, politik dan ketuhanan, lebih istimewa lagi ianya mempunyai suku yang pelbagai.

“Setiap suku mempunyai keunikan masing-masing termasuklah peranan ‘Ibu Soko’ yang menjadi tulang belakang dalam segala hal yang melibatkan adat dalam komuniti,” ujar baginda ketika merasmikan majlis berkenaan.

WhatsApp Image 2020-01-16 at 11.28.35

Tunku Ali Redhauddin bersama DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan mencuba masakan tradisional Negeri Sembilan yang dimasak oleh Ibu Soko.

SMK Tunku Besar Burhanuddin merupakan sekolah kedua di seluruh Negeri Sembilan yang menubuhkan Kelab Adat Perpatih yang mana ia adalah medan yang paling sesuai dalam melahirkan insan yang berilmu, beradab serta menjadi pemimpin yang berwibawa.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata Misi Pendidikan Negara ialah untuk melahirkan insan terdidik yang terbukti dapat mengekalkan kesejahteraan diri dan orang lain.

“Pendidikan akan menghidupkan jati diri dengan ilmu kemahiran yang luas dan jati diri yang tinggi pula terbina dengan adat yang sekian lama telah diwarisi dari nenek moyang kita,” ujarnya.

Tambah Pkharuddin lagi, dengan pembukaan kelab tersebut diharap para pelajar dapat memahami dan menghayati dengan mendalam akan pelaksanaan Adat Perpatih ini.

Turut diadakan demonstrasi masakan tradisional oleh ‘Ibu Soko’ dan pameran busana adat yang dibawakan khas oleh Lembaga Adat Negeri Sembilan bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah.

-AK

Tinggalkan komen anda