
Laporan /foto : Rosli Muhammad (Pasir Puteh)
PASIR PUTEH, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Perusahaan keropok keping yang dihasilkan daripada ikan tambang segar semakin mendapat sambutan dan mampu menjana pendapatan lumayan kepada pengusahanya.
Seorang pengusaha keropok keeping, Safidazura Nasir, 36, dari Kampung Telaga Papan, Semerak Pasir Puteh, berpuashati berikutan permintaan yang tinggi daripada masyarakat di Negeri Kelantan, khususnya dari Daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Machang dan Gua Musang.
Menurut Safidazura lagi, berasaskan kepada sambutan itu pihaknya merancang untuk memasarkan ke luar Kelantan seperti Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Baharu seterusnya ke Sabah dan Serawak.
Bagi memperkukuhkan lagi perniagaan keropok keping ini beliau berhasrat untuk mendapatkan pinjaman kewangan daripada agensi atau jabatan kerajaan bagi membina bangunan kilang keropok sendiri .
“Bagi mencapai cita-cita tersebut saya memerlukan modal sekurang-kurangnya RM50,000,” katanya.
“Saya berhasrat untuk memohon pinjaman dengan jabatan atau agensi kerajaan melalui pinjaman mikro perniagaan kerana ramai pengusaha dan peniaga di Malaysia berjaya dengan bimbingan jabatan atau agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),”tambahnya lagi.
“Buat masa ini saya menyewa bangunan kepunyaan penduduk tempatan dengan kadar sewa sebanyak RM900 sebulan,”jelasnya.
“Sekarang ini perusahaan saya mampu mengeluarkan hasil sebanyak 250 kilogram keropok sehari dan berhasrat menambahkan pengeluaran kepada 500 kilogram sehari apabila peralatan mesin kilang mula beroperasi pada bulan November 2019 lalu akan dinaik taraf dengan modal permulaan sebanyak RM10,000 dan dibantu oleh sembilan orang pekerja berpengalaman daripada penduduk tempatan,”jelas Safidazura
Selain itu Beliau juga sentiasa mendapat bekalan ikan tambang segar untuk membuat keropok keping ini daripada nelayan-nelayan tempatan sekitar kawasan Tok Bali.
Safidazura merupakan seorang pengusaha yang sentiasa berpandangan jauh untuk mengembangkan perusahaan keropok keping berjenama ‘SEDAP SENGOTI’ yang dijual pada harga RM19 sekilo. Pelbagai kemudahan semasa yang disediakan oleh kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya demi mengejar cita-cita memajukan lagi perusahaannya.
-NAZ