
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
SRI AMAN, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Budaya kunjung-mengunjungi rumah terbuka semasa meraikan sesuatu perayaan di Malaysia menjadi salah satu platform terbaik untuk mengeratkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Ketua Badan Pimpinan Parti Bersatu Negeri Sarawak Jaziri Alkaf Suffian, berkata bahawa budaya kunjung mengunjungi rumah terbuka harus dimanfaatkan sebaiknya kerana ianya dapat mengeratkan lagi silaturrahim masyarakat yang berbilang kaum dan kebudayaan.
“Di Sarawak, kita mempunyai lebih kurang 28 etnik atau suku kaum yang hidup penuh harmoni dengan mengamalkan perpaduan yang begitu erat dalam kalangan mereka dan kewujudan mereka pastinya mencorakkan lagi warna-warni kebudayaan sedia ada.
“Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina seperti ini boleh dijadikan asas penting ke arah pembentukkan masyarakat yang lebih harmoni dengan pergaulan lebih akrab tanpa unsur perkauman serta berinteraksi dengan lebih terbuka,” ujarnya yang ditemui sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di sini baru-baru ini.
Jaziri turut menggesa agar setiap masyarakat memainkan peranan penting dalam mewujudkan sikap saling menghormati antara satu sama lain serta memupuk perpaduan yang jitu bagi memastikan semua kaum dapat hidup rukun damai tanpa perbalahan.
“Kita haruslah menolak sebarang anasir negatif yang boleh memporak-perandakan kestabilan dan keharmonian kaum,” katanya lagi.
-SH