
Laporan/ foto: Salawati Mat Shariff (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 100 orang peserta terdiri daripada komuniti setempat telah mengambil bahagian dengan mengikuti Program Latihan CPR Bersama Komuniti diadakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Kejururawatan Bertam, Pulau Pinang anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kepala Batas dengan kerjasama Hospital Kepala Batas.
Bantuan kecemasan perlu diberikan apabila tiba-tiba jantung terhenti dan mangsa terjatuh namun persoalannya siapakah yang sudi membantu memberikan rawatan asas iaitu Cardiopulmary Resuscitation (CPR).
Menurut Pakar kecemasan Hospital Kepala Batas, Dr. Shuhada Anis, “Masyarakat kurang pasti dan ada juga yang tidak akan memberikan bantuan kerana merasa ragu risiko penyakit berjangkit melalui air liur ketika memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut. Ini berlaku kerana masyarakat tidak tahu ada teknik bantuan CPR menggunakan tekanan dada sahaja yang lebih dikenali sebagai ‘Hands Only CPR’.
“Otak hanya mempunyai masa kurang daripada empat minit selepas jantung berhenti mengepam hingga boleh menyebabkan sel-sel otak mula mati dan dalam keadaan kritikal seperti ini, teknik CPR perlu digunakan sebelum pegawai perubatan sampai bersama ambulan, tambah beliau.”
Dalam program tersebut, para peserta juga telah diperkenalkan dengan alat Automated External Defibrillator (AED) yang dapat menganalisis irama jantung secara automatik dan memberikan kejutan elektrik 200 joule kepada mangsa yang mengalami jantung terhenti.
AED adalah kit aksesori penyelamat mengandungi pad elektrod, pisau tuala kecil & gunting.
Seorang peserta, Noornita Ahmad berasa bertuah kerana berpeluang menghadiri bengkel ini dan mencuba teknik CPR dan AED ke atas model payung manikin dengan dipantau oleh Mohd Safian, Pegawai Perubatan Hospital Kepala Batas.
Menurut Safian, terdapat 10 buah AED di Pulau Pinang dan telah ditempatkan di 10 lokasi terpilih antaranya Taman Botani, Terminal Bas Sungai Nibong, Komtar, Bukit Bendera dan banyak lagi.
-ii-