
Laporan/foto: Nur Hafif Zainurdin (Melaka)
MELAKA, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 485 orang penjawat awam negeri menerima anugerah sempena Majlis Anugerah Penjawat Awam Negeri Melaka (MAPAN) 2020, yang diadakan di Hotel Holiday Inn, Banda Hilir, di sini, semalam.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri atau MAPAN adalah acara tahunan yang dianjurkan kerajaan negeri bagi memberi penghargaan kepada penjawat awam yang cemerlang berdasarkan prestasi tahunan masing-masing baik dalam melaksanakan tugas rasmi serta penglibatan aktif dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.
“Usaha menganjurkan acara ini di awal tahun perlu dikekalkan sebagai menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada para penerima untuk bekerja dengan lebih gigih, mempertingkat usaha dan mencapai produktiviti dan mutu kerja berkualiti tinggi sekali gus membantu meningkatkan prestasi kerajaan dalam aspek pengurusan mahupun penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya lagi, “pengiktirafan sebegini diharapkan dapat mewujudkan persekitaran persaingan yang sihat dalam kalangan pegawai dan kakitangan, memperbaiki keupayaan dan kemahiran agar dapat menghasilkan perkhidmatan terbaik dan menjadikan perkhidmatan awam kekal releven dan diyakini oleh rakyat.
“Justeru, bagi pihak kerajaan negeri, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada 485 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan 23 penerima Anugerah Khas Perkhidmatan dari Pejabat EXCO dan watankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) yang menerima anugerah masing-masing pada kali ini,” ujar Adly.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan, Exco Pendidikan Negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abas dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Hanafi Sakri.
-KN