Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

Pengukuhan Industri Sawit Melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)

By 30 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan sentiasa prihatin dalam menangani permasalahan industri penanaman sawit terutamanya melibatkan pengusaha sawit dan pekebun kecil yang sentiasa berdepan dengan kos tinggi bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok dalam ucapannya berkata, “kerajaan telah memperkenalkan skim pembiayaan mudah untuk membantu usaha penanaman semula menggunakan baka sawit berkualiti dan perolehan bekalan input pertanian untuk meningkatkan lagi produktiviti dan pendapatan pekebun kecil perindustrian (PKP) di mana dana berjumlah RM550 juta juga telah disediakan di bawah skim ini.”

“Dengan adanya penambahbaikan insentif-insentif dan usaha kerajaan ini, diharap dapat memudahkan proses pensijilan MSPO tuan-tuan dan puan-puan,” tambahnya lagi.

Teresa Kok ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Taklimat MSPO Penanaman Sawit Johor.

Teresa Kok ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Taklimat MSPO Penanaman Sawit Johor.

Melalui pelaksanaan pensijilan MSPO ini, para pengusaha tanaman sawit termasuk pekebun kecil boleh mendapat manfaat dari segi pengurusan amalan pertanian terbaik, kepatuhan kepada pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar serta peningkatan kualiti buah sawit yang dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO ini juga merupakan langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara.

Mengulas mengenai cabaran, tohmahan dan kritikan khususnya dari pihak Kesatuan Eropah yang mendakwa penanaman sawit mengakibatkan kerosakan hutan tropika dan penghapusan biodiversiti, beliau memaklumkan bahawa kenyataan itu adalah tidak benar sama sekali.

Antara tetamu yang hadir ke Majlis Taklimat MSPO Penanaman Sawit Johor.

Antara tetamu yang hadir ke Majlis Taklimat MSPO Penanaman Sawit Johor.

“Ini adalah usaha badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan anasir-anasir negatif dari luar yang cuba untuk menjatuhkan industri sawit negara, sekaligus memberi kesan kepada periuk nasi para pekebun kecil sawit.

“Maka pelaksanaan pensijilan minyak sawit mampan seperti MSPO ini adalah salah satu usaha negara untuk melindungi dan mengukuhkan industri sawit negara, termasuk di negeri Johor,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Taklimat MSPO Penanaman Sawit Johor, di sini, hari ini.

Selain itu, isu-isu berkaitan tanah juga turut menjejaskan pelaksanaan pensijilan MSPO ini, walau bagaimanapun, pihak Kementerian Industri Utama dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor akan sentiasa bersama-sama untuk menyelesaikan permasalahan ini demi kelestarian industri sawit negara.

Sehingga 30 Januari 2020, seluas 3.74 juta hektar atau 64.1 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO di mana pensijilan ini meliputi kawasan estet seluas 3.04 juta hektar, pekebun kecil tersusun seluas 605,382 hektar dan PKP seluas 98,637 hektar.

Pihak kementerian bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan terus melipat gandakan usaha untuk menangani segala cabaran dalam memastikan tiada PKP yang ketinggalan dalam mendapatkan sijil MSPO.

Turut hadir, Ketua pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pengarah Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia Chew Jit Seng, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama Rosleli Jahari.
-NI-

Tinggalkan komen anda