Laporan/foto: Fauziah Abdullah (Seremban)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Jasa dan bakti penjawat awam di negeri ini terus dihargai dengan pelbagai inisiatif dan penambahbaikan yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Pelbagai kejayaan membanggakan telah dicapai oleh kerajaan negeri pada tahun 2019 dan yang paling membanggakan adalah kejayaan mengutip hasil sebanyak RM556.4 juta (129.4%) berbanding belanjawan sebanyak RM430 juta.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Negeri Sembilan kini berada dalam keadaan pentadbiran bersih, rakyat muafakat dan negeri sejahtera hasil kerjasama erat dan cekap anggota pentadbiran kerajaan negeri yang sentiasa berdiri teguh di belakang beliau.
“Seperti mana yang telah diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2020 Kerajaan Negeri Sembilan pada 22 November 2019 yang lalu, kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
“Bukan itu sahaja, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan kosong peratus faedah pinjaman kenderaan dan komputer kepada penjawat awam Negeri Sembilan yang membuat pinjaman, berkuat kuasa pada tahun 2020.
“Ini adalah sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada komitmen dan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh semua penjawat awam di negeri ini dan sebagai tanda terima kasih kepada mereka” katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Abdul Malik.
-AK