Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Dua Pasang Kembar Seiras Melangkah Ke Tahun Satu

By 3 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ramasamy Amas /Siti Norezrin Mahmood (Jempol)

JEMPOL, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Dua pasang kembar masing-masing bernama Rabiyatul Sazana dan Rabiyatul Zazani Suhaimi serta Safiqa dan Safira Abdulah telah mencuri tumpuan bagi sesi persekolahan tahun 2020 yang secara rasminya bermula semalam.

Kedua-dua pasangan kembar ini sangat gembira dan tidak berasa takut mendaftar ke tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rompin, Bahau, di sini.

Menurut Guru Besar SK Rompin Zamani Yahya, seramai 56 murid baharu termasuk dua pasang kembar unik ini telah mendaftar ke tahun satu di sekolah tersebut berbanding 64 pelajar bagi 2019.

Sementara itu, di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJK (T)) Ladang St. Heleir pula terdapat peningkatan pendaftaran pelajar tahun satu seramai 35 murid berbanding 22 murid bagi tahun 2019.

WhatsApp Image 2020-01-02 at 16.52.57

Dua pasang kembar yang memulakan sesi persekolahaan dari kanan Rabiyatul Sazana, Rabiyatul Sazani, Safiqa dan Safira.

Guru Besar SRJK (T) St. Heleir Marry Janaki, berkata sekolah beliau menyasarkan sekurang-kurangnya 42 orang murid tahun satu bagi sesi 2020 bagi membolehkan mereka membuka dua buah kelas tahun satu dan beliau yakin dan percaya sasaran tersebut akan tercapai pada minggu hadapan.

“Tahun ini, walaupun murid-murid ini baru melangkah ke tahun satu, mereka tidak menghadapi banyak masalah kerana ada dalam kalangan mereka yang petah bercakap, membaca, menulis hasil daripada bimbingan guru pra-sekolah dan ibu bapa,” ujarnya.

Manakala di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK (C)) Chung San, Rompin pula lain situasinya kerana hanya lima pelajar sahaja berdaftar tahun satu bagi tahun 2020 berbanding tujuh orang murid bagi tahun lepas dan seorang daripadanya adalah pelajar berbangsa Melayu.

Menurut Guru Besar Lee Thai Siong, keseluruhan pelajar di sekolah tersebut hanya 42 murid sahaja tahun ini berbanding satu ketika dahulu sekolah ini pernah mencecah lebih 300 pelajar.

“Kemerosotan pendaftaran pelajar baharu berpunca daripada kebanyakan ibu bapa telah berhijrah ke bandar Bahau,” katanya ketika ditemui semalam.

-AK

Tinggalkan komen anda