Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Kerajaan Bantu Tangani Masalah Sawah Yang Terjejas Akibat Kemarau

By 3 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih dari dua ribu pesawah yang terjejas akibat kemarau berpanjangan di kawasan Lembaga Pertubuhan Peladang boleh menarik nafas lega kerana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berjanji akan menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayob yang ditemui pemberita selepas melawat ke beberapa kawasan sawah yang terjejas akibat kekurangan air di Sempering menjelaskan bahawa pihak kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta agensi di bawah kementeriannya untuk membantu para petani yang terjejas akibat dari kekurangan air di kawasan sawah mereka.

“Salah satu faktor terjadi perkara ini kerana musim kemarau awal yang melanda negara pada tahun ini dan telah menjejaskan usaha penanaman padi di beberapa kawasan di Negeri Perlis.

“Pihak kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk melakukan pembenihan awan di mana ianya akan dilakukan mengikut tarikh yang akan diputuskan oleh MESTECC kelak,” ujarnya lagi.

Nurulhisham sedang menunjukkan kawasan-kawasan di bawah PPK yang terlibat.

Nurulhisham sedang menunjukkan kawasan-kawasan di bawah PPK yang terlibat.

Terdahulu beliau turut di bawa melawat ke kawasan Rancangan Tebatan Banjir Lencongan Barat Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) di Wang Bintong.

Salahuddin juga memaklumkan bahawa agensi di bawah MOA seperti NAFAS akan berusaha membantu 2,360 pesawah dari enam buah kawasan pertubuhan peladang yang berada di dalam Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri yang terjejas akibat kemarau ini.

“Pada masa ini bekalan di Empangan Pedu yang berada di Negeri Kedah berada dalam kawasan MADA adalah terkawal dan kita berdoa supaya hujan dapat turun dalam masa terdekat.

“Isu di Negeri Perlis sedikit berbeza kerana kawasan yang terjejas ini tidak terletak di kawasan MADA dan walaubagaimana pun kita akan menyelaraskan bantuan untuk membantu para petani di kawasan ini,” katanya lagi.

Beliau turut meluangkan masa mendengar masalah yang dihadapi para pesawah di kawasan Sempering berkaitan isu kos pembelian minyak untuk pam air yang ditanggung mereka dan akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu para petani di kawasan tersebut.

Kawasan penanaman padi kawasan Sempering terletak di dalam Pertubuhan Peladang Paya (PPK Paya) dan isu ini telah menjejaskan lebih 683 orang petani di kawasan itu manakala sumber air cuma diperolehi dari Skim Pengairan Santan Selatan di bawah selian JPS yang memperolehi bekalan air dari Empangan Timah Tasoh.

Samsuri Ahmad, 45, salah seorang pesawah yang terlibat di kawasan tersebut berkata para pesawah berterima kasih kepada pihak LPP kerana membekalkan pam air yang secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka.

“Dengan cadangan dan jaminan dari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyelesaikan isu minyak tersebut ternyata melegakan lebih 171 pesawah di kawasan Sempering ini kerana kos yang kami perlu keluarkan untuk minyak bagi kegunaan pam air ini mencecah lebih RM60 sehari.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Haji Zainal Azman Abu Seman, EXCO Pertanian Negeri Perlis Nurulhisyam Yaakob, Ahli Perlimen Kangar Amin Ahmad dan ADUN Sena Asrun Nizam Jalil.

-NI-

Tinggalkan komen anda